Home Nasional Kerja-kerja mengeluarkan gerabak tren terlibat kemalangan mencabar – Prasarana

Kerja-kerja mengeluarkan gerabak tren terlibat kemalangan mencabar – Prasarana

Petugas-petugas Prasarana Bhd mengaminkan bacaan doa sebelum kereja-kerja pemulihan dilakukan. Gambar ihsan: Prasarana Bhd

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pemulihan untuk operasi penuh perkhidmatan tren Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya diteruskan hari ini dengan fokus diberi bagi mengeluarkan kedua-dua tren yang terlibat dalam insiden, kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Prasarana Bhd. memberitahu, ia melibatkan staf daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock) serta dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel menerusi tiga syif.

Katanya, kerja-kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal bekerja pada setiap syif.

“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka selesai dalam masa tiga hari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan.

“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” demikian menurit kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak bagi kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.

Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan, katanya.

“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir; dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” tambah kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette