Home Nasional Misi kemanusiaan Ebit Lew dapat kelulusan kerajaan

Misi kemanusiaan Ebit Lew dapat kelulusan kerajaan

Temubual bersama Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Malaysia Gazette di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pendakwah itu bagi memaklumkan misi kemanusiaan yang dijadual bermula hari ini hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberi sumbangan kepada rakyat Palestin yang terkesan teruk susulan serangan rejim Israel ke atas Gaza.

“Urusan membabitkan misi berkenaan dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mesir.

Kamarudin berkata, walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit dinasihatkan sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Kamarudin turut mengingatkan delegasi itu untuk mematuhi semua SOP dalam negara yang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Beliau berkata, secara dasarnya, kementerian menyokong penuh usaha delegasi Ebit dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin, termasuk mewujudkan tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang selesai dikumpul oleh NGO kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

Ebit dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini, memuat naik sekeping gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sambil memegang pasport dan tiket penerbangan.

“Pohon doakan ya Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya.

“Ya Allah bantulah kami dan hanya kepada-Mu kami berserah,” katanya. – MalaysiiaGazette

+ posts