KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia digesa supaya segera bertindak menghalang regim Yahudi daripada meneruskan rancangan penempatan haram di kawasan tanah Palestin dan menggeledah Masjid Al Aqsa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, negara-negara Islam dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertegas menolak pengurusan Majlis Wakaf Islam Jordan yang dilantik menjaga Masjid Al-Aqsa diserah kepada Kementerian Agama Yahudi.
“Kami mengutuk dengan keras provokasi zionis Israel yang membawa puluhan Yahudi haram diiringi polis zionis Israel bersenjata berat ke dalam perkarangan masjid dan menyerang jemaah yang sedang bersolat Subuh.
“Kami menegaskan negara Arab di sekitar Asia Barat kini telah dipecahbelahkan akibat ada yang sudah menerima normalisasi dengan zionis Israel,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, zionis Israel merancang supaya negara Arab tidak lagi melihat isu Masjid Al Aqsa sebagai isu bersama sebaliknya, zionis Israel berjaya mengisolisasikan isu Masjid Al Aqsa hanya kepada orang Palestin.
Tegasnya, kebiadaban penduduk Yahudi ini yang mahu menghancurkan Masjid Al Aqsa mesti ditentang habis-habisan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Jelasnya, kecuaian umat Islam membiarkan zionis Yahudi terus menyerang Masjid Al Aqsa akan mengakibatkan mereka boleh menyerang semua tapak suci Islam yang lain.
“Jelas, matlamat zionis Yahudi sebenar adalah untuk memusnahkan Masjid Al Aqsa. Memusnahkan kediaman penduduk di Semenanjung Gaza bukan matlamat sebenar.
“Mereka sejak berabad lamanya sudah menyasarkan Masjid Al Aqsa sebagai kemuncak matlamat penjajahan mereka ke atas Palestin. Mereka mahu mendirikan kuil Yahudi yang kononnya berada di bawah Masjid Al Aqsa.
“Umat Islam perlu tahu kezaliman zionis Yahudi tidak akan berhenti selagi Masjid Al Aqsa tidak mereka rampas.
“Kami mengingatkan umat Islam jika Masjid Al Aqsa dapat dirampas dan dimusnahkan tidak ada jaminan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram akan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette