Home Pendapat Syor tangani dampak pandemik terhadap universiti dan siswa

Syor tangani dampak pandemik terhadap universiti dan siswa

Gambar hiasan

LAPORAN berita semalam tentang sebanyak 376 buah Universiti Swasta berhadapan waktu yang sangat kritikal untuk meneruskan kelangsungan amatlah menyentak. Institusi yang dipenuhi cinta dan ghirah terhadap ilmu dan budaya intelektualisme turut hampir-hampir tidak bernafas menghadapi godaman Covid-19. Situasi ini menarik keluar suatu hipotesis bahawa mahasiswa boleh hidup tanpa universiti tetapi, universiti bakal mati tanpa mahasiswa. Pahit tetapi pasti.

Dilema Universiti Era Pandemials

 Universiti juga sebagai institusi sosioekonomi bergantung kepada mahasiswa sebagai warga pelanggannya. Pelaburan yuran masuk dan pulangan sijil sarjana kembali. Kitaran ini menggerakkan universiti, menghidupkan motor operasinya yang ditunjangi kakitangan akademik dan pentadbiran yang perlukan upah kerja. Bagaimana kalau tiada mahasiswa yang mendaftar masuk sebagai warganya?

Bagaimana pula jika kampus mereka cukup seluas hanya komputer riba?

Siapa sangka Covid-19 akan mengetuk pintu manusia dan menumpang di dadanya di tahun serba serbi canggih. Alat-alat persenjataan moden robek digempur tenteranya yang seni. Bangunan tutup, sekolah digantung, kampus dikunci, dewan kuliah sunyi hatta Parlimen sepi. Namun, soal kemenjadian mahasiswa patut di jawab terputuskah ilmu tanpa universiti?

Bibitnya cuma bermula. Konfigurasi potret baru pendidikan akan muncul. Universiti boleh bangkit, tetapi budaya belajar dan mendapat pengetahuan di universiti jalanan sudah terbit bagi mengisi tempoh pemulihan Covid yang entah bila akan sembuh sempurna. Laman sawang terbuka, media-media baru dengan segala kemudahan mendapatkan pengetahuan dengan atau tidak berkaedah telah robek diteroka oleh para ‘pensyarah-pensyarah’ di medan baru. Mahasiswa dengan yuran percuma, hanya perlu sign in sudah memiliki personal autonomy seluasnya meneroka tembok yang mengunci universiti mereka.

Sama ada universiti berpagar akan kekal bertahan oleh suntikan dana kerajaan atau yuran yang minima belum pasti. Cuma yang semakin pasti pelbagai macam inovasi telah berlangsung ditoreh di medan universiti baru – universiti lapangan yang tidak bertepi, tidak berpagar. Di medan maya atau alam raya yang tidak lagi mensyaratkan manusia diuji secara IQ, tetapi EQ dan SQ bersekali.

Warga universiti mahu tidak mahu, suka tidak suka terpaksa menghadapi situasi ini. Samada berubah atau dirubah. Zaman tidak mengenal simpati atau kenangan atau romantisme. Kita tidak gembira menyatakan ini bahawa kenyataan benar tidak mengenal rintihan atau perasaan.

Dampak Kepada Mahasiswa

Sudah menjadi rahsia umum bahawa covid-19 memaksakan reset serta merta terhadap bukan sekadar sektor ekonomi tetapi hampir seluruh sektor kemanusiaan sehingga ke sendi-sendinya. Tidak banyak hal-hal yang boleh mempengaruhi keteraturan semula institusi global. Bencana alam, peperangan, pertukaran rejim dan sudah tentu satu antaranya ialah pandemik.

Pandemik ini tempiasnya sangat berpengaruh terhadap pembentukan landskap baru cara gaya interaksi manusia, penyampaian sektor governans, pendidikan, pembangunan mahasiswa dan sebagainya. Sorotan yang akan diberikan pada dunia kemahasiswaan khususnya di kampus yang semakin terkunci. Mereka kelompok yang paling panjang dikuarantin daripada kembali ke pentas pendidikan.

Perlu kita ketahui, proses pendidikan terhitung dalam dua dimensi, formal dan tidak formal. Melibatkan pembangunan IQ, SQ, EQ. Bukan sekadar interaksi IQ sahaja. Norma pembelajaran dalam talian telah mendapat keluhan meluas. Tetapi bukit tidak akan runtuh walau bagaimana sekalipun suara angin menghentamnya. Ia tetap teguh. Pandemik tidak pergi bagaimana sekali ratapan manusia. Kitalah patut menyediakan diri meminimakan dampaknya.

Mahasiswa sebagai kumpulan sosial memang sering diperhatikan. Universiti tempat berhimpunnya para cerdik pandai menyediakan kemudahan yang perlu untuk mendukung pertumbuhan daya intelek mahasiswa. Bersabitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyuratkan bahawa :

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Maka, soalan yang timbul apakah keadaan proses pembelajaran hari ini yang terdinding oleh pandemik dapat mendorong ke arah pengwujudan kemenjadian insani yang beradab lagi sempurna (al-Insan al-Kulliy)? Kita maklum bahawa pandemik di luar bidang kuasa dunia. Menembusi bidang kuasa benua, rantauan, negara, negeri dan daerah. Mengambil tindakan preventif seperti amalan sekarang adalah lebih baik berbanding mengubati. Itu semua maklumi, mencegah lebih baik daripada merawat. Pembelajaran semuka dan kegiatan luar dewan kuliah (kokurikulum) harus digantung tidak bertali untuk mengelakkan interaksi dekat.

Pembelajaran melalui dalam talian bukanlah kehendak hari ini, tetapi keperluan. Tidak boleh tidak, konfigurasi pendidikan pelajar akan terdampak. Suapan terhadap IQ akan melimpah. Kesannya memberikan beberapa sudut emosi. Setiap komponen “quotion” ibarat takungan. Jika terlalu ditimpakan isi yang di luar daripada kapasitinya ia akan tertumpah, terluah. Muntahan itu seperti larva yang membinasakan perkelilingannya. Beberapa kesan berikut dapat dijelaskan untuk kita ambil pusing dengan tindakan yang termampu.

Emosi – Kehilangan experiental learning. Apabila kampus ditutup panjang ia turut membawa kesan pembekuan wadah pembelajaran lain. Lapangan kerja persatuan terhad. Aturan pendidikan tidak rasmi (informal education setting) dalam program-program persatuan pelajar, usrah, wacana, dialog, kerja tangan melalui kegiatan sukarela tersekat dan terhambat. Instrumen formal yang terlalu menenakankan soal IQ tidak menyumbang secara menyeluruh pengembangan potensi dan bakat sebenar pelajar. Fakulti emosi, ruh, jasad dan jiwa mengambil tempat dan kedudukannya selain daripada IQ. Justeru, kedudukan EQ, SQ tersekat oleh penyempitan platform pendidikan yang hanya berpaksi kepada fakulti intelek semata.

Bagaimana untuk kita mengadili tentang kedudukan pembelajaran berasaskan pengalaman. Sedangkan ianya adalah madrasah terbaik seperti kata-kata hikmah “pengalaman adalah guru”. Dalam tradisi barat juga pengiktirafan terhadap pengalaman sebagai sektor produktif mencetak manusia sejagat (universal man) tidak diragukan lagi.

“Experience is a best school, but the fees are high” premis yang dirujuk untuk menjelaskan makna ini. Pengalaman adalah madrasah yang sangat baik, tetapi untuk masuk menyertai sebagai siswanya, yuran pula sangatlah mahal. Lapangan kerja masyarakat, kerja sukarela yang tidak ternilai oleh ukuran atas kertas adalah medannya. Kebijaksanaan mengurus keragaman, tekanan, perselisihan pandangan, kegagalan juga kejayaan tertempa latihannya di ruangan ini.

Sehingga kini, telah pasti setahun – yang belum pasti lagi covid-19 ini akan landai keluknya, mungkin 3 – 5 tahun atau mungkin mahasiswa akan terus terkurung dan berkurung menghadapi pembelajaran ‘era digital nomad’ di mana sahaja yang terbanyak sekali di “University of Bilik or Rumah”. Ekoran daripada itu, mereka kehilangan sentuhan manusiawi dek interaksi sosial yang terbatas. Sedangkan manusia itu sebagai ‘hayawan al-Natiq” atau social animal berkehendakkan perkumpulan secara bukan maya untuk bermuamalat dan melangsungkan fungsi asasi mereka.

Pendidikan bukan sahaja pemindahan nilai kepada fakulti intelek, tetapi turut bertujuan pembinaan watak. Dalam tradisi Islam disebut sebagai ta’dib merujuk kepada penyemaian adab. Pendekatannya melalui pelajar bersahabat (suhbah) dengan guru. Untuk mendapatkan adab, pelajar tidak boleh tidak harus mengawani, mencampuri, menggauli guru. Proses pendidikan akan lebih melekat dengan menyaksi, merasa dan melihat sendiri perbuatan guru samada sejalan atau tidak dengan perkataannya, Dalam erti kata bersahabat (suhbah) dengan mereka.

Pendekatan kaum sufi untuk mendapat pengukuhan ilmu. Ini tidak didapatkan waktu PKP. Sedangkan, jadual kemungkinan mereka kembali semula ke universiti sebagai perkebunan ilmu telah ditetap pada bulan Mac 2020 awalnya tahun lepas. Tapi, bila keruntuhan kerajaan oleh ahli politik yang senteng, mereka menelan pahit disebabkan covid-19 ikut mencanak naik. Dimensi pengukuhan ini akan hilang dan kita akan dibarisi generasi graduan tanpa peng-adaban yang cukup.

Ketidakseimbangan emosi juga berlaku oleh pergolakan psikologi pelajar yang merasakan bahawa mereka tidak mendapat pulangan pelaburan yang selayaknya. Mereka mungkin merasakan yuran yang di bayar tidak setimpal dengan kesan pembelajaran dalamtalian yang membosankan. Kesan kognitif juga. Rasa tepu dan hilang semangat. Banyak khabar dalam bentuk luahan rasa daripada pelajar tentang amalan kelas dalam talian yang tidak efektif, mengantuk, tidak konsisten dan yang lebih mengharukan tidak dapat difahami oleh pelajar. Tapi, ni di luar lingkaran kepedulian kita (circle of influence – Rujuk Stephen Covey)

Cabaran pembinaan kemahiran insaniah termasuk menghadapi dilema yang sama. Pembelajaran dalamtalian memperuntukkan ruang yang terbatas untuk kumpulan pelajar mengasah kemahiran lunak mereka. Sedangkan kemenjadian pelajar diukur tentunya meliputi keseimbangan emosi dan keterampilan peribadi melalui debat, dialog, mengurus silang pandangan, mengawal tekanan, pengurusan tanggungjawab masyarakat, ahli kelas, kolej dan fakulti. Bagaimanakah mereka dapat mempertajam kemahiran itu dalam ruang yang hanya semuka serta ruang pelbagai hala yang minimum.

Persekitaran juga berkisar antara yang terdekat seperti keluarga yang lapangannya kecil. Banyak mungkin bakat-bakat yang tiris kerana tidak dapat diuji, dikembangkan ke persada yang wajar. Mereka hanya berinteraksi secara minima dalam bahasa tubuh (body contact) yang sebenarnya mempengaruhi lebih separuh kesan penyampaian mesej. Mengapa tidak, dalamtalian hanya intonasi suara sahaja tanpa kemahiran pengawalan pentas dan kemahiran postur tubuh dapat dijelmakan ketika pembentangan atau sesi soal jawab.

Mahasiswa juga berhadapan realiti sukar berikutan penguncupan pasaran kerja atau tawaran gaji tidak kompetitif. Jabatan Perangkaan menyatakan graduan yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas memperoleh gaji permulaan lebih rendah berbanding mereka yang memasuki pasaran pekerjaan tahun-tahun sebelumnya. Menurut data berkenaan, majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun berkenaan menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.

Apabila PKP 3.0 dikuatkuasakan, sektor industri dan pemain ekonomi konvensional akan mengalami kemerosotan. Tindakan yang diambil seperti mengecilkan operasi, mengehadkan tenaga kerja, memotong gaji atau langsung menutup operasi sudah tentu menjadi alasan kenapa soal penguncupan pasaran kerja dan gaji rendah ditimbulkan. Mahasiswa yang baru tamat atau akan tamat berdepan ketidaktentuan (unpredictable future). Mereka menghadapi apa yang disebutkan dalam Laporan Global Risks sebagai ‘youth disillusionment’.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika menulis dapatan dialog kepimpinan MBM bersama YB Menteri Belia dan Sukan pada 4 Februari 2021 berdasarkan laporan World Economic Forum (WEF) bertajuk “Pandemials: Youth in an Age of Lost Opportunity” menyatakan bahawa “membuatkan kita harus berfikir bahawa kita diuji sekali dengan tugasan berat untuk menangani pelbagai isu belia era pandemik meliputi kesenjangan digital, keciciran pelajaran, kesihatan mental, pengangguran, keganasan dan kemiskinan”.

Laporan Global Risks 2021 juga turut menyebut 30% belia yang tempang teknologi untuk menyertai pembelajaran dalam talian; 80 % belia mengalami kemerosotan kesihatan mental semasa pandemik; dan belia semasa berpotensi menjadi ‘double lost generation of the 21st century’.

Paling membimbangkan defisit keyakinan oleh belia kepada pihak pemerintah dan pemegang taruh seperti KBS dan MBM sekiranya gagal secara tuntas menangani permasalahan mereka apa yang diacuankan oleh WEF sebagai ‘youth disillusionment’ atau kekecewaan mereka terhadap demokrasi dan ekonomi yang menyebabkan mereka kabur dan kelam akan masa depan mereka.

Kegalauan ini tidak hanya boleh terbiar mengharapkan ditangani tanpa intervensi bersifat bottom – up atau bottom – down. Peranan universiti yang berpagar itu mungkin meleset sekali kesannya di musim kini. Tetapi, layak dianjurkan kaum mahasiswa merempuh universiti di luar pagar- universiti kehidupan. Di sana, banyak peribadi-peribadi besar lahir secara sociogenic. Kita tidak pernah memperkecilkan peranan universiti. Tetapi, kita kembangkan. Jika takrif asasinya dirujuk, universiti bukanlah semata kompleks berpagar, sehimpunan masyarakat yang gemarkan pengetahuan dan ilmu. Ia boleh dicipta dalam lingkungan mahasiswa. Belajar menghadapi konteks dan ghirah menciptakan yang sebanding atau seumpama hawa universiti yang mereka terpaksa pendamkan dengan atau tanpa rela.

Graduan yang bakal dilahirkan nanti akan kehilangan pengalaman latihan  ‘people skill‘ oleh interaksi maya. Berurusan dengan mesin (laptop, gajet) bagaimana harus ada kemahiran manusia? Untuk hendak memahami bahasa tubuh rakan sekerja, bos, pelanggan, ahli mesyuarat pra-latihannya dikutip dilapangan universiti yang menawarkan pendedahan berkenaan.

Lanjutan demi lanjutan tempoh PKP ini mungkin menciptakan budaya keresahan (culture of restive) dikalangan warga. 60 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta dilaporkan telah berkubur pada tahun lepas. Rujuk laporan yang sama keluar di muka hadapan Utusan Malaysia dan Harian Metro 25 Mei 2021. Kenyataan ini berdasarkan rekod bahagian berkenaan di Kementerian Pengajian Tinggi. Banyak sektor ekonomi lainnya turut lebih awal mendahului nasib sama. Hotel, pelancongan, pekedai kecil, syarikat berasaskan khidmat persiaran dan sebagainya. Semua ini mendatangkan budaya resah dikalangan mahasiswa. Berita juga melaporan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dilaporkan ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bukan sebulan, bahkan 4 hingga 5 tahun kerana menunggu panggilan berkhidmat sebagai guru yang masih belum tiba.

Syor-Syor

Menginsafi ini tidak harus menjadikan kita pasrah dan menyerah. Peribadi yang hebat menentukan arus, bukan ditentukan arus. Pukulan Covid-19 bukan sahaja memukul orang kecil sebagai kita hatta, negara-negara raksasa yang punyai benteng pertahanan terkuat dunia juga bocor dirempuh makhluk ini. Justeru, kalau kita ambil konsep yang dibangunkan oleh Stephen Covey – Circle of Influence dan Circle of Concern mari kita tumpukan banyak pada kitaran pertama. Kitaran pengaruh. Perkara-perkara yang boleh kita kawal (manageable). Pihak berkuasa boleh membangun mekanisma kawalan. Peranan kerajaan sebagai regulator boleh meminimakan dampak Covid-19. Namun, sebanyak yang lain-lain terletak dipundak kaum siswa. Mereka perlu menyesuaikan diri. Digital media literacy perlu diperkasa. Banyak sektor baru yang akan dibangunkan sepenuhnya bergantung kepada kecelikan media digital. Hatta pada perkara ekonomi dan kerjaya.

Siswa juga harus sedar setiap masalah adalah peluang untuk tampil menemukan pemecahannya. Di sana terdapat ruang untuk mencabar potensi diri. Jika anda berjaya menanganinya, barangkali cabaran kerjaya akan lebih mudah ditangani. Mungkin pada era kini, anda boleh memanfaatkan waktu yang tidak banyak disita untuk bersiap, bersolek, menunggu ke kelas dengan memperluas daerah pembacaan, melatih kemahiran pelbagai, membina jaringan atas talian, bahkan mungkin mulai meninjau ruang mencari pendapatan aktif atau pasif seraya menampung, menampal kebocoran ruang mempertajamkan kemahiran insaniah yang sepatutnya ditimba di universiti tempoh ini.

Hidup ini berjalan dalam sifir – when you win some, you will lose some. Kita hilang pengalaman empirik dalam pendidikan tinggi tapi, kita mewah waktu untuk meneroka jurang-jurang pasaran yang terbuka melalui media. Jaringan kepintaran (intelligence networking) tidak memerlukan secara semuka, walaupun pada tabiinya hubungan semuka lebih memberi kesan, tetapi Covid-19 mengajar tiada halangan untuk menjaring banyak contact melalui internet, forum atastalian yang lumayan ditawarkan dalam dan luar negara, dalam dan luar kampus. Masa lapang, masa senggang tidak sempat berlalu jika kita manfaatkan.

Mahasiswa juga adalah bahagian daripada rakyat, bahkan jantung yang menghidupinya. Mereka mendengar jerit perih rakyat hadapi dalam tempoh sukar ini. Dengan lambakan kepayahan rakyat yang boleh dibaca, didengar, dilihat di sana sini, apakah ada dikalangan kita yang muda, bertenaga, berilmu, berkemahiran, berpengalaman, berkelapangan masih mahu berpeluk tubuh? Diulit kesedapan dan kesenangan nikmat sentosa di rumah empuk sambil beralasan hanya kuliah dan kelas dan tugasan dan pembentangan.

Tampil-lah kita mengisi, memberi, khidmat dan bakti. Ruang oleh kampus berpagar yang tertutup bukanlah alasan untuk menceburkan diri dilapangan sebenar di kampus tidak bertepi, tidak berpagar. Hadapi sasaran sebenar masalah masyarakat dan terjemahkan seperti dalam teori yang didengungkan dalam kelas-kelas yang anda ikuti. Bersama gelombang ramai aktivis, sukarelawan, intelektual rakyat, ahlul itsar di luar. Datang memanggil atau sahut panggilan mereka.

Kiranya waktu ini dikerahkan segala kepandaian dan segala angan-angan dan fikiran-fikiran meng-awan itu, turun ke dataran, lembah, kaki gunung, rumah pangsa, PPR, hutan dan pekan. Jawab desah suara rakyat yang tidak direzekikan memiliki segala yang tersebut sebagai kita. Jangan harapkan kerajaan sahaja yang memang kadang-kadang tiadalah boleh diharap. Banyak hal-hal besar diselesaikan oleh rakyat tanpa sedikit pun mereka berniat.

Imbasan nostalgia yang lama-lama jangan dibiarkan berlawanan lagi dengan realiti kini. Awal dulu mahasiswa jawab suara rakyat lapar. Mereka angkat dan corongkan ke telinga penguasa. Kita mendengar dan mendengar, sering diulang Tok Dalang mendendang riwayat silam angkatan pelajar yang gemilang. Di Baling pecah suara mereka, di Telok Gong, Tasek Utara berdengung gemanya. Suara mereka itu dirupakan pula oleh para pemuisi dikalangan sasterawan yang menyambut nyaring suara mahasiswa ke dalam pita kertas-kertas karya seni mereka. Usman Awang sebagai mithal. Tegak berdiri di sisi ngauman suara mahasiswa.

Beberapa tahun sudah, rakyat pula menjawab suara mahasiswa lapar. Sampai nak putus urat perut diberitakan tentang derita dilalui mahasiswa melewati cabaran kos sara hidup, harga barang dan kuasa beli yang mengecil. Kontradiksi sekali. Sedangkan muda, kuat dan bertenaga itulah kekayaan siswa dan belia. Namun, sekarang ini di musim sektor ekonomi terdera, pengangguran berganda, ketirisan berleluasa, siapakah yang patut menjawab siapa?

Mahasiswa, anak mudalah harus tampil, ambil semula baton melawan kelaparan massa. Dengan apa? Dengan segala kudrat kuasa, ilmu dan kemahiran menghimpun sumber. Ianya juga sebagai medan universiti kehidupan, lebih sah menepati konteks.

Sementara menunggu universiti bangkit kembali serta inovasi-inovasi maya di medan pendidikan baharu tanpa bumbung dan sempadan sedang diuji, landskap dan kanvas pendidikan berwajah baru isi-mengisi, mahasiswa tidak harus hanya menanti tanpa pasti. Ciptakanlah hawa universiti anda dalam tempoh belajar daripada rumah kini. Memberi dan berkongsi, menimba segala ilmu dan pengetahuan dalam dan luar pagar kelas. Semoga mahasiswa, universiti dan warganya dapat terus beradaptasi dan menciptakan arus sendiri dalam tempoh sukar ini. Bangkit semula dan melengkapi diri dengan inovasi yang tidak dapat dibendung ditahan lagi. Memberi dan berbahagi makna tanpa mengira cabaran pandemik atau apa sahaja, kerana di sanalah nilai malar warga ini selamanya.

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia