Home Ekonomi Azhar dilantik Pengerusi MRT Corp

Azhar dilantik Pengerusi MRT Corp

Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Holding Berhad, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media khas berkenaan FGV Holding Berhad di Akademi FGV, Menara Chulan, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM 3 SEPTEMBER 2018.
Datuk Wira Azhar Abdul Hamid

KUALA LUMPUR –  Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melantik Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi lembaga pengarah syarikatnya yang baharu.

Pelantikan itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau pernah menerajui MRT Corp sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama dari tahun 2011 hingga tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim menyambut baik pelantikan Azhar dan yakin beliau akan membawa pengalaman industri yang luas  membantu memacu syarikat pada masa hadapan.

“Sebagai CEO MRT Corp yang pertama, pengalaman dan pengetahuan Datuk Wira Azhar adalah sangat bernilai dalam pembangunan Projek Rapid Transit System di antara Johor Bahru-Singapura serta Projek MRT3 Laluan Lingkaran, dan pada waktu yang sama, dalam menyiapkan MRT Laluan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelantikan Azhar berkuatkuasa pada 11 Mei lalu.

Sebelum pelantikan ini, Azhar merupakan Pengerusi FGV Holdings Sdn Bhd dari tahun 2017 hingga April 2021.

Setelah meninggalkan MRT Corp, beliau telah memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation, Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan dan seterusnya Pengerusi Tradewinds Corporation Berhad.

Beliau merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan Pernas International Holdings Berhad dari tahun 2001 hingga 2002.

Selain daripada jawatan-jawatan di atas, beliau turut merupakan Pengerusi Malaysian Palm Oil Association dari tahun 2001 hinggal 2010.

Azhar adalah ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun di United Kingdom, dan ahli Institut Akauntan Malaysia.- MalaysiaGazette