Home Ekonomi Kesan limpahan perdagangan global sumbang pemulihan ekonomi negara – MOF

Kesan limpahan perdagangan global sumbang pemulihan ekonomi negara – MOF

Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesan limpahan luaran (external spillover) dari pemulihan permintaan global termasuk aktiviti perdagangan yang terus meningkat telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Ini jelas melalui prestasi KDNK suku pertama 2021 (S1 2021) yang menguncup jauh lebih kecil pada kadar 0.5% dari tahun-ketahun berbanding penguncupan 3.4% pada suku keempat 2020. Ini juga disumbang oleh pemulihan pertumbuhan KDNK pada bulan Mac 2021 yang telah meningkat sebanyak 6% dari tahun-ke-tahun, kadar tertinggi sejak 12 bulan lalu.

“Namun, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap risiko yang disebabkan oleh perubahan dalam persekitaran ekonomi domestik dan global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini termasuklah wabak Covid-19 yang berpanjangan kerana varian baru yang telah tersebar di seluruh dunia; gangguan bekalan vaksin Covid-19 yang boleh menggugat usaha mencapai imuniti kelompok, kejutan harga komoditi dunia dan juga ketidaktentuan pasaran Kewangan global,” kata satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bagi meneliti unjuran prestasi terkini ekonomi negara, kedudukan semasa dan jangka masa sederhana fiskal Kerajaan Persekutuan serta inisiatif pembaharuan
kewangan awam.

Bagi ekonomi domestik, kata kenyataan yang sama, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, langkah pencegahan Covid-19 yang lebih bersasar, serta pakej rangsangan ekonomi dan langkah Belanjawan 2021 yang masih diteruskan akan menyokong pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini.

Walaupun terdapatnya risiko yang meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), KDNK untuk tahun 2021 dijangka meningkat antara 6.0% – 7.5%, sejajar dengan unjuran oleh Dana Kewangan Antarabangsa (6.5%), Bank Dunia (6.0%) dan Bank Pembangunan Asia (6.0%).

Kesan PKP 3.0 terhadap pertumbuhan ekonomi dianggarkan kurang daripada satu mata peratusan, berdasarkan strategi yang lebih seimbang di mana hanya sektor kontak fizikal yang intensif dilarang manakala sektor yang menyumbang lebih dari 90% daripada KDNK dibenarkan beroperasi.

Di samping itu, prestasi ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama yang kian pulih, seperti Singapura, China dan Amerika Syarikat yang masing-masing berkembang sebanyak 0.2%, 18.3% dan 0.4% pada S1 2021.

Dari segi kedudukan fiskal negara, kerajaan telah menyemak sasaran defisit dari 5.4% ke 6% daripada KDNK untuk tahun 2021 setelah mengambil kira langkah pakej rangsangan ekonomi tahun 2020 yang masih berterusan, serta pakej bantuan PERMAI dan PEMERKASA yang diumumkan pada S1 tahun ini.

Sehubungan itu, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dianggarkan berada di paras 62% pada akhir 2021 manakala hutang berkanun (merangkumi MGS, MGII dan MITB) dianggarkan meningkat dari 58% pada tahun 2020 kepada 58.5% pada akhir 2021.

Ini kekal di bawah had hutang berkanun iaitu 60% daripada KDNK yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020. Profil hutang negara kekal teguh dengan lebih dari 90% hutang kerajaan diterbitkan dalam denominasi ringgit, disokong oleh ketersediaan kecairan domestik, serta pinjaman dengan tempoh matang yang panjang yang menyokong fleksibiliti pembiayaan. Jawatankuasa turut membincangkan inisiatif pembaharuan antaranya rangka kerja Akta Tanggungjawab Fiskal sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan pengurusan, governans dan akauntabiliti bagi memperkukuhkan kewangan negara.

“Keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada ancaman Covid-19 serta meneruskan agenda pemulihan ekonomi yang berteraskan prinsip pengurusan kewangan yang berhemat.

“Langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana hingga panjang, setelah ekonomi negara kembali pulih dan berada di landasan pertumbuhan. Strategi ini akan memastikan negara mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek serta mencapai kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang, antara lainnya, dengan memacu pelaburan berkualiti tinggi dan mempelbagaikan asas hasil kerajaan,” kata kenyataan itu.

Justeru, kerajaan yakin strategi fiskal itu akan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal teguh dalam jangka masa sederhana hingga panjang, bagi mencapai agenda pembangunan negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama.- MalaysiaGazette