Home Nasional KJ minta maaf masalah teknikal tempahan slot AstraZeneca

KJ minta maaf masalah teknikal tempahan slot AstraZeneca

Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette AstraZeneca vaccine vaccination senior citizens registration
Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Plan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memohon maaf kepada semua pihak berikutan masalah teknikal yang berlaku sewaktu tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua pada 26 Mei lalu.

Beliau sedar sistem yang diguna pakai berhadapan dengan kelemahan untuk memproses permintaan yang tinggi dengan cekap, sehingga mengakibatkan ramai kecewa apatah lagi apabila gagal membuat tempahan slot vaksin AstraZeneca.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam program PICK, saya memohon maaf kepada semua pihak yang mengalami masalah melayari laman web untuk membuat tempahan untuk vaksinasi AstraZeneca pusingan kedua semalam terutama kepada yang tidak berjaya mendapatkan slot tempahan yang mereka kehendaki.

“Saya tidak nafikan pengalaman pengguna yang dilalui menyebabkan ramai kecewa akibat kelemahan sistem untuk memproses permintaan yang tinggi dengan cekap,” katanya ketika sidang media yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Justeru itu Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah memulakan siasatan yang diketuai oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk mengenal pasti kelemahan sistem tempahan vaksin berkenaan.

Beliau turut memberi penjelasan tentang peruntukan sebanyak RM70 juta yang dipertikai pelbagai pihakĀ  yang mengaitkannya dengan kelemahan laman web untuk menempah vaksin AstraZeneca.

Kata Khairy, jutaan ringgit itu bukan diperuntukkan untuk membangunan laman web tempahan temu janji AstraZeneca sahaja.

Sebaliknya, RM70 juta itu juga digunakan untuk tujuan pemantauanĀ  pelaksanaan PICK secara keseluruhan.

“Ingin saya tegaskan peruntukan siling RM70 juta itu bukan hanya untuk membangunan laman web tetapi meliputi pengurusan dan pemantauan dan pencapaian PICK. Juga berkenaan laporan harian PICK, pengesanan vaksinasi, pembangunan sistem, sistem pengurusan logistik, pengendalian call centre dan lain-lain,” jelasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tempahan AstraZeneca kini melalui MySejahtera – KJ