KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 2.26 juta kepada 2.37 juta pada suku pertama tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk.
Data penduduk ini berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian dan migrasi bersih dan data ini akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.
Menurutnya, penduduk Malaysia dianggarkan 32.75 juta orang, meningkat 0.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku pertama 2020 (32.62 juta).
Jumlah penduduk ini merangkumi 29.91 juta orang (91.3%) warganegara dan 2.84 juta orang (8.7%) bukan warganegara.
Pada suku tahun pertama 2021, penduduk lelaki (16.83 juta) melebihi penduduk perempuan (15.92 juta) manakala nisbah jantina penduduk keseluruhan (warganegara dan bukan warganegara) adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Manakala nisbah jantina penduduk warganegara adalah 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Katanya, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku pertama 2021 ialah Selangor (20%) diikuti oleh Sabah (11.9%) dan Johor (11.6%).
Sebaliknya, Labuan mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 peratus.
Penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada suku pertama 2021 menurun daripada 7.61 juta pada suku pertama 2020 kepada 7.56 juta.
Manakala, penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.74 juta (suku tahun pertama 2020) kepada 22.82 juta pada suku tahun pertama tahun ini.
Mohd Uzir menambah, pada tempoh yang sama jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 10.8 peratus (102,969 kelahiran), berbanding suku tahun pertama 2020 (115,439 kelahiran).
Tiada peningkatan mendadak bagi kelahiran hidup pada suku pertama 2021 seperti yang dijangkakan berlaku susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Pada suku tahun pertama 2021, kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 53,292 kelahiran berbanding perempuan (49,677 kelahiran).
Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,729 kelahiran (19.1%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan (368 kelahiran: 0.4%).
Jumlah kematian pada suku tahun pertama 2021 direkodkan sebanyak 43,545 kematian, meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding suku tahun pertama 2020 (43,226 kematian).
Sejumlah 25,076 kematian adalah lelaki sementara 18,469 kematian adalah perempuan.
Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,909 kematian (15.2%) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 65 kematian (0.1%).
Katanya, sebanyak 801 kematian disebabkan Covid-19 direkodkan pada suku tahun pertama 2021, meningkat 70.1 peratus berbanding 471 kematian pada tahun 2020.
Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 285 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya dua kematian dan tiada kematian direkodkan di Perlis. – MalaysiaGazette