Home Ekonomi Rakyat berhati-hati berbelanja ketika pandemik – Kajian

Rakyat berhati-hati berbelanja ketika pandemik – Kajian

Orang ramai membeli barangan keperluan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan mulai 25 Mei sehingga 7 Jun di pasaraya ST Rosyam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 MEI 2021

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia didapati lebih berhati-hati dalam corak perbelanjaan semasa musim pandemik Covid-19, menurut tinjauan pembeli Oxwhite 2021.

Trend itu mungkin disebabkan ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh pelbagai kekangan berkaitan pandemik Covid-19.

Tinjauan Pembeli Oxwhite 2021 mendapati 58% pembeli Malaysia hanya membeli barangan mengikut keperluan dan 24% lagi pembeli melakukan pembelian berdasarkan senarai yang dibuat.

Hanya 12.5% pembeli yang membeli berdasarkan dorongan kehendak dan baki 5.5% yang lain merupakan pembeli yang sentiasa mencari produk terbaharu dan mengikut trend terkini.

Sementara itu, 48% responden merupakan mereka yang memperoleh pendapatan bulanan antara RM2,001 hingga RM5,000.

Ini diikuti oleh mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah (22%), RM5,001 dan 8,000 (19%) dan RM8,001 ke atas (11%).

Kajian ini menunjukkan julat pendapatan rakyat Malaysia bukan faktor penentu terhadap kecenderungan ketika membeli-belah.

”Ironinya, peratusan responden yang mengatakan mereka hanya berbelanja mengikut keperluan adalah dari dua kumpulan berpendapatan tertinggi dan kumpulan berpendapatan terendah," kata pengasas Oxwhite, CK Changr.

Menurutnya, belian berdasarkan keperluan kebiasaan dalam kumpulan berpendapatan bulanan melebihi RM8,001 (68%), antara RM5,001 dan RM8,000 (68%) dan di bawah RM2,000 (62%).

“Senarai hajat (29%), belian secara dorongan kehendak (13%) dan trend (9%) lebih popular dalam kalangan responden dengan pendapatan bulanan RM2,001 dan RM5,000.

”Mungkin kerana kumpulan rakyat Malaysia ini, umumnya tidak terikat dengan komitmen kewangan yang tinggi berbanding dengan kumpulan berpendapatan lebih tinggi.

”Mereka juga mungkin mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna berbanding dengan kumpulan julat bawahan, setelah
mengambil kira perbelanjaan asas seperti makanan, sewa, pengangkutan dan lain-lain,” ujarnya. – MalaysiaGazett