Home Nasional 275 kompaun dikeluarkan ingkar SOP sejak 6 Mei lalu

275 kompaun dikeluarkan ingkar SOP sejak 6 Mei lalu

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
PETALING JAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengeluarkan 275 kompaun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 6 Mei hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebanyak 60 kompaun dikeluarkan terhadap individu bagi kesalahan cubaan merentas daerah dan negeri.
“Selain itu, sebanyak 215 kompaun dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi melebihi had masa, tiada penjarakan fizikal dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya, hari ini.
Selain kompaun, Polis Petaling Jaya turut menangkap 62 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.
“Pemantauan kita mendapati ada warga asing yang rentas negeri dan daerah semata-mata nak membeli-belah, contoh dari Petaling Jaya ke kompleks Mid Valley.
“Kebanyakan warga asing kita dapati menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab untuk merentas daerah dan negeri,” katanya. 
Sementara itu, sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 Plus ini, jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan berkurangan sehingga 90 peratus selepas jam 9.30 malam.
“Hanya 10 hingga 15 peratus sahaja kenderaan bergerak selepas 9.30 malam  sejak empat hari PKP 3.0 plus ada keberkesanan pematuhan dan prosedur oleh kerajaan. 
“Keadaan lalu lintas juga agak lengang dan sunyi selepas jam 9.30 malam. Ini kerana orang ramai majoriti semakin patuh SOP (Prosedur Operasi Standard),” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kadar peningkatan kes positif yang semakin tinggi di Selangor menjadi punca orang ramai semakin patuh kepada SOP.
“Pematuhan dalam kalangan perkilangan hampir 90 peratus kerana setakat ini tiada pelanggaran dan tiada kompaun pelanggaran.
 
“Masyarakat dan industri di Petaling Jaya lebih fokus pematuhan mungkin kadar peningkatan kata kes ketara di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette