Home Nasional 500,000 pekerja sektor peruncitan dijangka terima vaksin Jun ini – KPDNHEP

500,000 pekerja sektor peruncitan dijangka terima vaksin Jun ini – KPDNHEP

Urusan jual beli yang meningkat menunjukkan pergerakan ekonomi negara semakin mengembang setelah terkesan dengan pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 500,000 pekerja sektor peruncitan akan mendapat manfaat di bawah Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi yang akan bermula pada Jun 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Jelas beliau, pemberian vaksin kepada barisan hadapan ekonomi dilihat perlu untuk disegerakan khususnya dalam kalangan pekerja sektor peruncitan sekaligus membantu mencapai imuniti kelompok (herd imunity) di negara ini.

“Sebagai barisan hadapan ekonomi, sektor peruncitan penting dalam memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya menerusi kenyataan.

Kata Alexander, KPDNHEP telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan menyelaraskan program vaksinasi sektor peruncitan dengan semua pemain industri yang berkaitan.

KPDNHEP juga tambahnya akan bekerjasama dengan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Malaysia Retailers Association (MRA) dan Malaysia Retail Chain Association (MRCA) bagi mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di lokasi yang strategik di seluruh negara.

Sementara itu, beliau memaklumkan satu perjumpaan bersama CITF, persatuan dan pemain industri peruncitan diadakan pada hari ini dengan dihadiri oleh 60 orang wakil pemain industri peruncitan bagi memperincikan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi berkenaan.

Justeru itu, Alexander menyeru semua syarikat di bawah sektor peruncitan menyertai program vaksinasi ini bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 seperti mana sasaran Kerajaan iaitu 80 peratus populasi diberikan vaksin sebelum akhir tahun ini.

“Syarikat yang berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan melalui https://www.vaksincovid.gov.my/ atau berhubung dengan Kementerian ini melalui Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected],” tambahnya. -MalaysiaGazette