Home Nasional EDICT kecewa berlaku lagi kematian tahanan

EDICT kecewa berlaku lagi kematian tahanan

KUALA LUMPUR – Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT) kecewa dengan kekerapan berlakunya kes kematian dalam tahanan yang dilihat seolah-olah tidak diambil peduli oleh kerajaan.

Ia susulan satu lagi kes kematian dalam tahanan di Penjara Simpang Renggam, Johor, membabitkan seorang pemuda berusia 21 tahun yang menurut ibunya tidak pernah mempunyai rekod masalah kesihatan.

Sehubungan itu, EDICT menggesa agar satu siasatan inkues dilakukan segera oleh Mahkamah Koroner bagi mencari punca dan penyebab kematian pemuda ini.

Ini kerana, Mahkamah Koroner adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang bagi menyiasat kes
kematian dalam tahanan seperti yang dinyatakan di dalam Kanun Prosedur Jenayah, seksyen 334 serta Arahan Amalan No.2 Tahun 2019.

Dalam kenyataannya di sini, EDICT mahu kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri agar mengambil langkah pantas untuk menghentikan kematian dalam tahanan.

”Para anggota pihak berkuasa mesti dilatih dari sekarang untuk mengendalikan para tahanan dengan lebih baik dalam masa jangka
panjang. Kebajikan para tahanan sering terabai ketika berada di dalam penjara, pusat tahanan imigresen serta lokap.

”Justeru kerajaan harus meningkatkan taraf fasiliti dan kondisi penjara serta lokap serta pusat tahanan imigresen agar sesuai untuk menempatkan para tahanan,” katanya.

Pada masa sama, EDICT berharap ahli keluarga tampil menuntut keadilan bagi kematian ahli keluarga mereka dan pihaknya sedia membantu dari segi guaman sekiranya diperlukan.- MalaysiaGazette