Home Nasional Polis Marin rampas syabu bernilai RM3.83 juta untuk diseludup ke Aceh

Polis Marin rampas syabu bernilai RM3.83 juta untuk diseludup ke Aceh

Polis Marin rampas syabu bernilai RM3.83 juta untuk diseludup ke Aceh, Indonesia semalam.

SEBERANG PERAI – Persiapan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia menyeludup keluar syabu bernilai RM3.83 juta ke Aceh dengan menggunakan bot gentian kaca berjaya digagalkan dalam satu serbuan di Bagan Bukit Tambun, Simpang Ampat di sini semalam.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Unit Risikan Marin (URM), Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang menyerbu sebuah jeti haram di kawasan berkenaan pada jam 4 petang.

Hasil serbuan itu, membawa kepada penemuan syabu seberat 105 kilogram yang disimpan di bahagian bawah bot tersebut.

Syabu yang dirampas disimpan pada ruang bawah bot gentian kaca tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan, sindiket berkenaan menunggu air pasang pada sebelah malam untuk menyeludup keluar syabu tersebut.

Selain itu, sindiket juga dikatakan bertindak mengubah suai tangki minyak bot gentian kaca itu untuk melakukan perjalanan ke Aceh yang memakan masa enam jam dari kawasan jeti terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, serbuan itu membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 36 dan 57 tahun.

Sahabudin.

“Dalam pada itu kita merampas syabu seberat 105 kg bernilai RM3.83 juta yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Turut dirampas sebuah bot gentian  kaca yang dilengkapi enjin laju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, sindiket mendapat upah RM10,000 setiap kali penghantaran bahan terlarang itu.

Bot gentian kaca yang digunakan sindiket untuk menyeludup syabu turut dirampas.

Tambah Sahabudin, hasil soal siasat suspek mengaku aktif melakukan kegiatan seludup dadah ke negara jiran sejak Mei tahun lalu.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek tempatan berusia 57 tahun itu mempunyai rekod lampau membabitkan pengedaran dadah pada tahun 2011.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 4 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau. – MalaysiaGazette