Home Nasional PPVHS di tujuh hospital swasta di Johor mulai 1 Jun

PPVHS di tujuh hospital swasta di Johor mulai 1 Jun

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan
JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) akan melibatkan tujuh buah hospital swasta di Johor bermula pada 1 Jun ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, ia melibatkan empat hospital swasta di Johor Bahru selain masing-masing satu hospital swasta di Kluang, Batu Pahat dan Muar.

“Hospital swasta ini akan memberi vaksin 250 hingga 1,000 dos seminggu vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, di Johor, pengamal perubatan swasta yang dikendalikan Protect Health turut terlibat dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner (PPVGP) bermula pada 5 Mei lalu dengan enam buah klinik swasta iaitu lima di Johor Bahru manakala satu lagi di Batu Pahat.
Menurutnya, pada 1 Jun ini, jumlah klinik swasta yang terlibat dalam program PICK meningkat kepada 43 buah.
PPVGP itu katanya, akan memberi 36 hingga 90 dos seminggu vaksin Covid -19 dengan jumlah dos bergantung kepada pilihan kapasiti klinik masing-masing.
“Walau bagaimanapun, pengamal perubatan swasta di larang untuk mendapatkan senarai nama penerima vaksin dengan mengiklankan dalan media sosial mahupun aplikasi pesanan ringkas seperti Whatsapp,” katanya.
Ini kerana katanya, cara itu boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga Khamis terdapat 549 kes baharu telah dilaporkan di Johor dengan 64 kes atau 12 peratus adalah daripada kluster aktif dan kluster baharu.
Jelasnya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 56,231 kes di seluruh negeri.
Ujarnya, sebanyak 50,737 kes telah pulih iaitu 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 5,248 kes Covid-19 yang aktif telah diasingkan dan diberi rawatan di rumah, hospital atau Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 (PKRC).
“Kumulatif kematian setakat ini adalah 246 kes di Johor.   Sehingga semalam (Khamis) kumulatif kluster aktif di Johor sebanyak 96 kluster dan daripada jumlah tersebut, 30 kluster adalah penularan dalam industri, 44 dalam komuniti,15 dalam institusi, dua di pasar raya , empat kluster melibatkan tahanan dan satu kluster import. -Malaysiagazette