KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan beliau serius untuk mengambil alih Perak FC namun perlu mengkaji kos operasi yang meliputi skuad pelapis negeri itu.
Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida mengakui sudah mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mendapatkan pengalaman daripada bekas menteri besar itu yang berpengalaman dalam dunia bola sepak.
“Memang ada jumpa (Ahmad Faizal) kerana saya serius dalam hal ini, cuma kena tengok apa benda ada dalam pasukan yang saya kena komit. Bukan sekadar dalam Liga Super, skuad Piala Belia pun kena tanggung belaka, macam mana.
“Berapa overhead? Kena dapat terperinci dengan bekas menteri besar yang ada pengalaman dalam dunia bola sepak,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Vida sebelum ini dilaporkan berminat membeli Perak FC yang kini mencari pelabur yang berminat untuk mengambil alih pasukan itu selepas seorang demi seorang pemainnya angkat kaki ekoran isu tunggakan gaji.
Ketika ini, bekas juara Piala Malaysia 2018 itu telah kehilangan kapten pasukan Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula, yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Kenny Pallraj dan J. Parthiban mengambil keputusan menyertai skuad Kuala Lumpur (KL) City FC manakala Nazirul Naim ke Sabah FC.
Kini hanya tinggal beberapa pemain utama seperti Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Amirul Azhan Adnan, Idris Ahmad, Firdaus Saiyadi dan Rafiuddin Roddin yang kekal.
Pemain-pemain muda seperti Muhammad Izzuddin Roslan, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham, Farid Khazali serta pemain Perak II kini akan memikul tanggungjawab besar dalam baki kempen liga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO), Perak FC, Rizal Ali Naizali hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk menggalas tugas CEO Perak FC kerana telah memberi notis sebulan untuk meletak jawatan.
Tarikh akhir perkhidmatannya adalah pada 10 Jun depan.
Ahli perniagaan itu meletak jawatan sejurus selepas tamat perlawanan Liga Super bertemu Sri Pahang di Ipoh pada 9 Mei lalu.
Bagaimanapun tindakannya ditolak kerana dikatakan dilakukan secara tidak mengikut peraturan.
Berikutan itu Rizal mengemukakan permohonan berhenti secara rasmi. – MalaysiaGazette