KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meneruskan momentum positifnya berbanding dolar US minggu depan, di tengah-tengah kelemahan berpanjangan dolar US berikutan pelbagai perkembangan di pasaran yang menjejaskan mata wang itu, menurut penganalisis.
Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dolar US telah merosot berbanding ringgit akibat data ekonomi yang bercampur-campur daripada Amerika Syarikat (AS).
“Sebaliknya, jumlah tuntutan pengangguran awal berlaku lebih rendah daripada jangkaan, yang kebiasaannya optimis kepada dolar US, dan data jualan rumah yang dinantikan jauh lebih lemah daripada jangkaan, menjadikan unit negara maju itu berada di bawah tekanan.
“Data keluaran dalam negara kasar AS (untuk suku pertama) yang seiring dengan jangkaan, gagal untuk melenyapkan keraguan pelabur terhadap pemulihan ekonomi AS,” katanya.
Beliau berkata, ini mendorong kepada jualan besar-besaran dolar US ketika pelabur membeli lebih banyak ekuiti berikutan harapan bahawa rangsangan ekonomi akan kekal lebih lama.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan sehingga paras 4.1000 berbanding dolar US pada minggu depan,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penganalisis berkata kestabilan harga minyak, disertai penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent yang ketika ini melepasi US$69 setong akan turut memberi manfaat kepada prestasi ringgit.
Beliau berkata sekiranya harga minyak menokok sehingga US$70 setong, bukan sahaja ringgit, malah mata wang lain turut menerima rangsangan, yang mana minyak menjadi satu daripada sumber hasil negara.
Di dalam negara, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.
Bagi asas mingguan, ringgit menokok berbanding dolar US kepada 4.1320/1350 daripada 4.1390/1430 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan itu kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.7598/7629 daripada 3.8074/8118 pada minggu sebelumnya, menokok berbanding pound Britain kepada 5.8604/8651 daripada 5.8832/8897 dan naik berbanding euro kepada 5.0344/0385 daripada 5.0595/0656.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1213/1238 daripada 3.1099/1141 pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette