KUALA LUMPUR – Leo Fuat Berhad (Leon Fuat) mencatat kenaikan sebanyak 3,297 peratus keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM36.11 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM1.06 juta yang dicatat pada suku sama tahun kewangan sebelum ini.
Leon Fat dalam kenyataannya berkata, keuntungan kasar pula mencatatkan pertambahan sebanyak 296 peratus kepada RM53.34 juta berbanding RM13.47 juta disebabkan peningkatan 9.4 mata peratus di dalam margin keuntungan kasar bagi perdagangan produk keluli kepada 22.2 peratus.
“Manakala margin keuntungan kasar bagi pemprosesan dan pengilangan produk keluli meningkat sebanyak 16.4 mata peratus kepada 26.8 peratus,” kata Pengarah Eksekutif Leon Fat Ooi Shang How di sini hari ini.
Leon Fat terlibat di dalam perniagaan dagangan, pemprosesan dan pengilangan produk keluli, mengkhusus di dalam produk panjang bergulung dan rata.
Antara portfolio produk ialah produk rata seperti gegelung, plat, kepingan, tiub dikimpal, dan pail, seksyen segi empat dan bersegi dikimpal, dan produk panjang seperti batang, rod, syaf, seksyen, bucu, saluran dan tiub dan paip tidak berklim.
Mengulas lanjut Shang How berkata, perolehan keseluruhan Leon Fat turut bertambah sebanyak 76.2 peratus kepada RM211.48 juta dalam tempoh yang sama.
Manakala dari segi segmen, perolehan daripada dagangan produk keluli meningkat sebanyak 87.5 peratus kepada RM74.29 juta, perolehan daripada pemprosesan produk keluli bertambah sebanyak 70.7 peratus kepada RM137.11 juta.
Tambah Shang How, pihaknya gembira dapat mencapai keputusan yang begitu menggalakkan pada suku tahun ini berikutan harga keluli telah meningkat di seluruh dunia sejak separuh kedua tahun 2020 atas jangkaan masa hadapan ekonomi global yang semakin pulih.
“Terdapat lonjakan keluli global didorong oleh permintaan tinggi dengan harga meningkat ke paras tertinggi sejak beberapa tahun ini. Sementara harga keluli tidak menunjukkan tanda menurun dalam masa terdekat, kami kekal berwaspada, baik dari segi masa hadapan harga dan juga ekonomi kerana pandemik COVID-19 tidak juga menunjukkan tanda-tanda akan surut.” katanya.
Ujarnya, memandangkan ketidaktentuan menyelubungi pandemik ini, banyak akan bergantung kepada bagaimana kunci ekonomi di seluruh dunia boleh kembali pulih dan kesannya terhadap permintaan dan harga keluli.
Kemeruapan harga komoditi dan minyak mentah akan berterusan memberi impak ke atas ringgit, dan dengan faktor tersebut memberi kesan ke atas keuntungan produk keluli kami disebabkan kebanyakan produk ini disumberkan dari luar negara.
Pihaknya bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan lestari dan akan terus memantau harga keluli dan juga mata wang asing berkaitan serta mengambil langkah-langkah proaktif termasuk merunding semula kontrak hadapan, pengurusan inventori dan kos pengurusan secara cermat bagi menangani sebarang impak negatif.
“Kami sudah dan akan terus secara aktif menangani segala kebimbangan berkaitan COVID-19 dari segi semua kakitangan kami dan operasi perniagaan. Ini adalah perkara diutamakan dengan mematuhi semua peraturan PKP dan prosedur standard operasi lain dari Majlis Keselamatan Negara. Kumpulan ini telah menyediakan pasukan bertindak kecemasan (ERT) di dalam tiga subsidiarinya dan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan ERT di peringkat kumpulan yang lebih besar”tambahnya.
Leon Fuat baru-baru ini menyempurnakan proses penempatan persendirian di mana dana yang dijana akan dilabur ke dalam perluasan perniagaan dan pembelian mesin-mesin baharu bagi memenuhi tempahan pelanggan. Setakat hari ini, harga saham Leon Fuat ditutup pada RM1.06 dengan modal pasaran sebanyak RM361.46 juta. – MalaysiaGazette