Home Dunia Raifal hilang di depoh senjata, dicuri dan dijual – Polis Thailand

Raifal hilang di depoh senjata, dicuri dan dijual – Polis Thailand

BANGKOK – Polis Thailand mendedahkan raifal AK-102 yang dilaporkan hilang dari depoh senjata di wilayah Narathiwat, selatan Thailand telah dicuri serta dijual kepada pemberontak dan pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Narathiwat, Jeneral Narin Busaman berkata, laporan awal mendapati senjata yang hilang itu dijual ke kedai pajak gadai.

“Enam raifal dijumpai semula manakala 22 lagi masih hilang. Siasatan masih diteruskan.

“Kami akan teruskan operasi untuk memburu dalangnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Awal minggu ini, media melaporkan sejumlah 28 raifal AK-102 untuk Sukarelawan Pertahanan Wilayah Narathiwat dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Mueang, Supakorn Phuengros sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan senjata di kem pertahanan di Mueang, Pattani itu kepada Ketua Polis Negara Suwat Jangyosuk dan pegawai atasan yang lain.

Sementara itu menurut jurucakap Keselamatan Dalam Negeri tentera Thailand, Kolonel Watcharakorn Onngern berkata, sebuah jawatankuasa khas yang mejalankan pemeriksaan mendapati senjata itu sudah hilang sejak beberapa tahun lalu.

Sejak 2004 tentera telah terbabit dalam konflik di selatan Thailand yang setakat ini sudah meragut lebih 7,000 nyawa. – Bernama