KUALA LUMPUR – Ssemua pimpinan parti politik di dalam Kerajaan Perikatan Nasional atau pembangkang diminta tidak memanipulasi situasi hari ini untuk kepentingan politik semata-mata.
Malah, Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang juga tiada keperluan untuk menggesa sidang Parlimen.
Sebaliknya, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berkata, adalah bagusnya setiap Ahli Parlimen turun ke kawasan masing-masing untuk memberikan bantuan daripada berdebat secara membabi buta di Parlimen, sepertimana yang kita semua lihat pada setiap sidang Parlimen yang lepas.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, rakyat perlu didahulukan dan kepentingan negara perlu diutamakan, seluruh masa dan tenaga perlu difokuskan untuk menentang Covid-19.
Menurutnya, penggantungan Parlimen juga dapat menghindari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak buat masa ini.
“Ambil pengajaran daripada PRN Sabah yang mencetuskan gelombang Covid-19 di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bahkan katanya, DPIM bersetuju kiranya darurat dilanjutkan hingga akhir tahun sehingga betul-betul berjaya menurunkan kes harian Covid-19.
”Sekarang bukan masa untuk berdebat di Parlimen, tetapi masa untuk Ahli Parlimen bekerja untuk rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, DPIM menyeru Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengumumkan bantuan khas kepada rakyat dan moratorium secara automatik dengan kadar segera.
Ini kerana ramai yang terpaksa duduk rumah dalam tempoh PKP 4.0, seterusnya hilang sumber pendapatan dalam tempoh terdekat ini.
Lagipun bank-bank yang mencatatkan keuntungan bersih berbilion ringgit waktu PKP 1.0 sewajibnya dapat membantu rakyat Malaysia dalam kedaan yang susah dan terdesak sekarang.
Sekurang-kurangnya, moratorium automatik untuk tiga bulan mencukupi untuk rakyat bernafas, tambah beliau. – MalaysiaGazette