Home Nasional 91,767 perniagaan manfaatkan SSM Biztrust

91,767 perniagaan manfaatkan SSM Biztrust

Kod QR SSM BIZTRUST tingkat keyakinan dalam urus niaga

Nor Azimah Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memperkenalkan SSM BizTrust sebagai satu piawaian yang boleh diperolehi oleh entiti perniagaan dalam talian.

SSM BizTrust menyediakan platform kepada peniaga online bagi memperolehi pensijilan SSM BizTrust melalui logo atau seal yang akan dipaparkan pada laman sesawang atau media sosial perniagaan mereka.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2017, SSM BizTrust ditawarkan secara percuma kepada semua jenis entiti perniagaan online yang berdaftar dengan SSM.

Pada 20 November 2020, SSM telah mengumumkan lanjutan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2021 selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan beban komuniti perniagaan online.

Sehingga 30 April 2021, sebanyak 91,767 entiti perniagaan berstatus aktif telah berdaftar sebagai komuniti SSM BizTrust dan sedar akan kepentingan serta manfaat SSM BizTrust.

Sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap sesebuah entiti perniagaan, SSM telah merencanakan semula penawaran produk SSM BizTrust kepada komuniti perniagaan melalui pengenalan kod QR SSM BizTrust.

Kod QR SSM BizTrust ini telah diperkenalkan kepada orang awam pada 31 Mac 2021 dan berfungsi sebagai satu pengesahan serta pengenalan identiti digital kepada entiti perniagaan yang berdaftar dengan SSM.

Sebagai permulaan, ianya ditawarkan kepada entiti perniagaan pemilikan tunggal dan perkongsian yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Kod QR SSM BizTrust ini akan memaparkan maklumat seperti nama dan nombor pendaftaran entiti perniagaan, status dan alamat URL perniagaan sebaik sahaja diimbas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, Kod QR SSM BizTrust akan meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap peniaga.

“SSM berharap melalui usaha serta inisiatif yang telah dilaksanakan ini, SSM BizTrust dapat memberi akses kepada maklumat utama perniagaan bagi mengenalpasti kewujudan sesebuah perniagaan yang sah di sisi undang-undang. Maklumat melalui Kod QR SSM BizTrust akan membolehkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna menguatkuasakan hak masing-masing di bawah transaksi perniagaan yang telah berlangsung.

“Selain diyakini dapat melahirkan pengguna dan peniaga beretika dalam berurus niaga, keyakinan ini juga diharapkan akan membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang dipercayai,” katanya.

Nor Azimah berkata, entiti perniagaan yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 serta mempunyai akaun berdaftar di portal SSM ezBiz Online boleh memperolehi dan memuat turun Kod QR SSM BizTrust secara automatik melalui pautan www.ezbiz.ssm.com.my.

“Pengguna boleh mengimbas Kod QR SSM BizTrust melalui aplikasi rasmi SSM, iaitu MySSM yang boleh dimuat turun secara percuma ke peranti mudah alih dari Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei AppGallery,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan Kod QR SSM BizTrust ini akan diperluaskan secara berperingkat ke atas entiti perniagaan lain yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Buat masa ini, entiti-entiti tersebut boleh membuat permohonan pendaftaran menerusi portal SSM BizTrust di pautan https://biztrust.ssm.com.my/ dan pendaftaran masih dibuka   secara percuma sehingga 31 Disember 2021. – MalaysiaGazette