Home Utama Doktor terpaksa buat pilihan sukar – Dr Noor Hisham

Doktor terpaksa buat pilihan sukar – Dr Noor Hisham

Melepaskan lelah. Seorang petugas hospital lengkap PPE berehat seketika di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes-kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) meletakkan para doktor dalam keadaan sukar apabla terpaksa membuat pilihan untuk mengutamakan katil bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi berbanding potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).

“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan (life and livelihood), adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa.

Setiap pihak yang berkepentingan, pastinya mempunyai keutamaan masing-masing.

“Namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan kami adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata, apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti para doktor untuk merawat, maka mereka akan terpaksa membuat pilihan yang sukar.

Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham merayu semua rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali.
Semua pihak dari peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.
“Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara.
“Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita. Pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan,” katanya.