Home Nasional Iklankan jawatan Pengerusi Prasarana secara terbuka, rakyat boleh memohon – Ismail

Iklankan jawatan Pengerusi Prasarana secara terbuka, rakyat boleh memohon – Ismail

Ismail Mina Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengiklankan secara terbuka jawatan kosong Pengerusi Prasarana supaya orang ramai boleh memohon untuk mengisi jawatan tersebut setelah perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan serta-merta.

Bekas Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad berkata, sudah tiba masa kerajaan menggunakan pendekatan yang berbeza bagi mengisi kekosongan jawatan itu walaupun ia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika kerajaan mengiklankan kekosongan jawatan Pengerusi Prasarana secara terbuka untuk diisi orang ramai, saya yakin ramai yang akan memohon.

“Pendekatan ini lebih terbuka, malah dilihat adil serta telus,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Ismail Mina, ia memang tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana ia melibatkan jawatan tertinggi dalam GLC namun berpendapat tidak salah jika kerajaan menggunakan pendekatan yang berbeza bagi membolehkan jawatan tersebut diisi.

Menurutnya, jika jawatan itu diiklankan secara terbuka untuk pengambilan, diyakini ramai golongan profesional dan terpelajar akan memohon.

“Saya yakin antara yang akan memohon ialah para graduan yang mempunyai kelulusan serta pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan dan sebagainya dari universiti-universiti tempatan.

“Kita pun tahu ada pusat pengajian tinggi seperti UiTM yang menawarkan bidang pengangkutan dan selama ini ke mana graduan-graduan berkenaan pergi,” katanya.

Ismail Mina berkata, dari iklan jawatan kosong itu, pihak Prasarana boleh mewujudkan panel temu duga yang boleh menilai kesesuaian calon bagi mengisi jawaan Pengerusi Prasarana.

“Ketika itulah peranan panel temu duga itu amat penting kerana calon yang dipilih akan menentukan hala tuju, pencapaian serta masa depan Prasarana,” katanya.

Beliau seterusnya berharap, bakal calon Pengerusi Prasarana itu haruslah terdiri daripada orang profesional selain benar-benar tahu serta faham mengenai agama Islam.

“Calon itu harus merupakan seorang intelektual agar dia dapat meletakkan Prasarana ke tahap dan pencapaian yang lebih tinggi,” katanya.- MalaysiaGazette