Home Politik NGO termasuk parti politik Pahang sepakat buat laporan polis terhadap Iswardy

NGO termasuk parti politik Pahang sepakat buat laporan polis terhadap Iswardy

Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik membuat laporan polis terhadap Iswardy Morny di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Sebanyak 11 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil dari parti politik di sini tampil membuat laporan polis terhadap ahli PKR, Iswardy Morni ekoran video tularnya menghina Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Kesemua laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai tanda solidariti terhadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang.

Sayap pemuda dari parti UMNO, Pas, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan hari ini membuat laporan polis sebagai menzahirkan rasa sokongan kepada institusi diraja.

Bagi mereka, tindakan Iswardy yang juga pemimpin pro-Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawaknitu bdidakwa menghina YDPA dianggap biadap.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuantan, Md. Jamil Pauzi berkata, laporan itu dibuat sebagai peringatan kepada mana-mana pihak supaya lebih berhati-hati membuat kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak mencerminkan sikap sebenar orang Melayu dan rakyat Malaysia yang sangat menghormati institusi beraja.

“Tuduhan Iswardy mengatakan YDPA tidak melakukan apa-apa bagi membendung penularan wabak Covid-19 dilihat berniat jahat dan sangat dikesali.

“Kita harap Iswardy dikenakan tindakan sewajarnya, berdasarkan peruntukan undang-undang supaya menjadi pengajaran kepada orang lain yang mempunyai niat melakukan perkara serupa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Manakala bagi Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Mujahidul Amin Roslan, persepakatan dalam membuat laporan polis bersama parti politik dan NGO merupakan tanda sokongan kepada YDPA yang juga Sultan Pahang.

Mujahidul Amin Roslan.

“Tindakan Iswardy itu dilihat sebagai satu bentuk provokasi terhadap sensitiviti orang Melayu dan tidak patut dibiarkan tanpa tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, sikap seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan harus dihakis segera kerana kita tidak mahu dianggap perkara biasa bagi sesetengah pihak yang tidak menghormati institusi raja di negara ini.

Hadir sama membuat laporan polis di IPD Kuantan ialah Ketua Penerangan ARMADA Indera Mahkota, Radin Mohd Nor Hafizan dan Ketua Pemuda Gerakan Pahang, Goh Tee Loong.

Terdahulu tular video secara langsung menerusi YouTube Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu mengeluarkan kenyataan didakwa berbaur hasutan dan menghina YDPA.

Susulan itu beliau itu telah ditahan kira-kira jam 11 malam tadi bagi membantu siasatan oleh Polis Diraja Malaysia.

Penahanan ahli PKR Cabang Petra Jaya, Sarawak itu telah disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video berdurasi  35 minit 48 saat itu turut dimuat naik menerusi laman facebook rasminya dan itu telag mendapat hampir 34,000 tontonan sehingga petang tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenyataan hina YDPA, Iswardy ditahan polis