Home Nasional Pejabat MB Johor nafi dakwaan Syed Saddiq

Pejabat MB Johor nafi dakwaan Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

JOHOR BAHRU – Dakwaan Ahli  Parlimen  Muar,  Syed  Saddiq  Syed  Abdul  Rahman kononnya mereka  tidak  menerima  jemputan  menyertai  sesi  perbincangan  berkaitan  kebajikan rakyat  Johor  secara  maya pada  27  Mei  lalu  tidak  benar.

Pejabat Menteri Besar Johor menerusi kenyataan media hari ini menyatakan semua  ahli  Parlimen  dan  Ahli  Dewan  Undangan  Negeri  (ADUN) di negeri itu sudah  dijemput  untuk  menyertai  sesi  perbincangan  tersebut  yang  bermula  jam 10  pagi.

Malah surat  jemputan  yang  dikeluarkan  Pejabat  Setiausaha  Kerajaan  Johor (Bahagian  Khidmat  Pengurusan)  juga telah memaklumkan  kepada  semua  wakil  rakyat  termasuk  parti  pembangkang  dan  tiada  seorang  pun  yang  tercicir.

“Untuk  makluman,  sesi  perbincangan  secara  maya  bersama-sama  YAB  Menteri  Besar Johor  itu  diadakan  bagi  menjunjung  kasih  atas  keprihatinan  Sultan  Johor,  Duli  Yang Maha  Mulia  (DYMM)  Tuanku  Sultan  Ibrahim  Ibni  Almarhum  Sultan  Iskandar  mengenai isu  Covid-19  dengan  mengambil  semangat  Sidang  Dewan  Undangan  Negeri  (DUN).

“Atas  sebab  itu,  kelancaran  perbincangan  dijalankan  dengan  kerahsiaan  yang  perlu dipatuhi  dan  ini  termasuk  tempat  diadakan  adalah  di  lokasi  yang  telah  dipilih  oleh Pejabat  Setiausaha  Kerajaan  Johor  (Bahagian  Khidmat  Pengurusan)  berdasarkan prosedur  operasi  standard  (SOP)  yang  dibenarkan  pihak  Majlis  Keselamatan  Negara (MKN).

“Lokasi  yang  dibenarkan  dan  diselaraskan  oleh  Pegawai  Daerah  adalah  di  Pejabat Daerah  dan pejabat  Majlis  Bandaraya atau  Majlis  Perbandaran  atau  Majlis  Daerah,” kata kenyataan yang sama.

Didalam kenyataan tersebut,  pihak MB Johor turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli Parlimen dan ADUN yang menyertai perbincangan itu termasuk wakil pembangkang.

“Terima kasih juga atas sikap responsif ahli-ahli Yang Berhormat atas jemputan tersebut, termasuk yang memaklumkan lebih awal tidak dapat turut serta dalam sesi perbincangan berkenaan.

“Kerjasama menerusi politik ‘Cara Johor’ ini diharap dapat terus diperkukuhkan pada masa akan datang demi kemakmuran rakyat dan negeri Johor,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Syed Saddiq menerusi Twitternya mendakwa tidak menerima sebarang jemputan atau maklumat mengenai mesyuarat menteri besar bersama ADUN dan ahli-ahli Parlimen Johor.

Beliau yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri dan menyifatkannya tidak matang memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk dipikul kepada rakyat di Parlimen Muar.

Sementara, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pula mendakwa  tidak dibenarkan menyertai mesyuarat itu dengan alasan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sudah memulakan ucapan.

Jelasnya, beliau sudah pun bersedia sejak 9.45 pagi dan menanti urusetia Pejabat Menteri Besar Johor membenarkannya menyertai mesyuarat itu, dan sehingga 10.15 pagi.

Bagaimanapun beliau mendakwa permohonannya ditolak.

Minggu lalu, Sultan Johor menitahkan semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri itu memberikan buah fikiran serta pandangan masing-masing dalam membendung penularan Covid-19 dan menyelesaikan masalah dihadapi Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor dengan dipengerusikan Menteri Besar sendiri.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Orang yang dijangkiti pandemic pasti ingkar SOP tetapi penguatkuasa yang kerja memantau sambil lewa tak beri dia kompoun.

Comments are closed.