Saturday, September 28, 2024
Home Nasional Sebanyak 1,500 hospital, klinik swasta bakal jadi PPV

Sebanyak 1,500 hospital, klinik swasta bakal jadi PPV

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin MITEC di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,500 hospital dan klinik swasta bakal menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum akhir Jun ini dalam usaha meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada 45,000 sehari kepada orang ramai.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini kira-kira 2,500 pengamal perubatan am swasta (GP) dan hospital swasta sedang menjalani latihan sebelum mereka membuka PPV masing-masing.

“Kita sasarkan sebanyak 500 PPV akan melibatkan GP klinik dan 1,000 hospital swasta akan mula beroperasi 15 Jun ini manakala bakinya dijangka akan beroperasi sebelum hujung Jun.

“Penambahan PPV ini akan mampu meningkatkan jumlah penerima vaksin sekurang-kurangnya 45,000 dos sehari tertakluk kepada bekalan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

MITEC menjadi PPV mega yang akan beroperasi esok dengan sasaran dapat meningkatkan lagi keupayaan pemberian vaksin kepada 6,000 orang sehari.

Khairy sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan antara lain turut bersetuju untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Selangor menerusi perkongsian maklumat dan usaha untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin. – MalaysiaGazette