Home Utama B40, PKS, mikro dapat moratorium automatik 3 bulan

B40, PKS, mikro dapat moratorium automatik 3 bulan

Peniaga, Marawi Latif menonton Perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Bantuan Chas 3.0 susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan akan diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan.

Bantuan itu turut diberikan kepada perusahan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri berkata, mereka boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada bulan Jun dan akan memanfaatkan lebih daripada lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Menurut beliau, industri perbankan akan memberikan maklumat terperinci mulai esok.

“Saya berharap pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) secara langsung malam ini.

Pengumuman itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat untuk tempoh dua minggu bermula esok 1 Jun hingga 12 Jun 2021.

Semasa pelaksanaan itu, semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali sektor-sektor yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu. – MalaysiaGazette