Home Nasional CAP gesa haramkan penjualan vape, rokok elektronik

CAP gesa haramkan penjualan vape, rokok elektronik

Subbarow menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik dalam negara.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, kerajaan harus memandang serius gesaan tersebut memandangkan ketagihan vape serta rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak, pelajar kini ditahap membimbangkan.

“Lebih membimbangkan, apabila kajian CAP mendapati ketagihan rokok elektronik dan vape dalam kalangan gadis muda turut meningkat.

“Selain itu, kajian menunjukkan semakin ramai penuntut universiti dan pelajar sekolah swasta ketagih dengan rokok, vape dan rokok-elektronik.

“Tidak mustahil negara akan berdepan cabaran kehilangan komuniti belia yang sihat pada masa hadapan kerana ketagihan ini merebak cepat dalam kalangan kanak-kanak dan kanak-kanak sekolah dan gadis muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow menegaskan ramai ibu bapa mengadu anak-anak mereka ketagih dengan rokok dan produk vape seawal usia 12 tahun.

Jelasnya, rata-rata ibu bapa mendakwa anak akan marah dan bertengkar jika mereka diberitahu tentang kemudaratan kesihatan akibat rokok dan vape.

“Malah, ada yang sanggup berbohong kepada ibu bapa dengan alasan perlukan duit untuk kelas tambahan dan membeli buku, namun duit itu digunakan untuk membeli vape dan rokok.

“Berdasarkan kajian kita dapati, golongan sebegini menghabiskan wang RM50 hingga RM150 sebulan untuk membeli rokok, vape ataupun rokok elektronik.

“Sehubungan itu, kita gesa kerajaan mengambil tindakan drastik berhubung penjualan vape, rokok elektronik dalam negara,” kata Subbarow. – MalaysiaGazette