Home Nasional Inifiatif MySI 2021: Mampu saingi negara Scandinavia budayakan inovasi

Inifiatif MySI 2021: Mampu saingi negara Scandinavia budayakan inovasi

Ahmad Amzad berucap melancarkan Program Dana Malaysia Social Innovation 2021 secara maya hari ini.

KUALA LUMPUR – Negara memerlukan ekosistem inovasi sosial yang kukuh dan berkait rapat dengan pembangunan ekonomi negara untuk memastikan aspirasi Kerajaan dalam pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) memberi impak kepada rakyat untuk 10 tahun akan datang.

Malah negara tidak mahu teknologi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tempatan yang telah dibangunkan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengeluar teknologi bagi kebaikan negara khususnya, kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi. Datuk Ahmad Amzad Hasim.

Kata beliau, penyertaan aktif pelbagai pihak termasuk industri, akademia, syarikat swasta dan komuniti boleh bertindak sebagai agen sosial yang dapat menyediakan teknologi dan inovasi bagi tujuan pembangunan negara yang lebih mampan.

“Saya yakin, dengan inisiatif MySI 2021, Malaysia boleh setanding dengan negara-negara Skandinavia seperti Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden dalam membudayakan inovasi secara konsisten.

“Dengan pelakanaan inisiatif MySI 2021 ini, Malaysia dijangka berada di antara sepuluh negara paling inovatif, berkecekapan tinggi dalam ekosistem ekonomi baru dan amalan terbaik dalam menjayakan inovasi sosial.

“Sebagai contoh di Denmark, platform inovasi sosial dan keusahawanan dijadikan misi utama untuk menyelesaikan isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat,” katanya dalam ucapan pelancaran majlis Penawaran Dana Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 secara maya hari ini.

Katanya, strategi bersepadu antara NGO, wakil di peringkat daerah dan komuniti di Denmark digembleng secara kolektif, menghasilkan lebih kurang 500 hingga 600 usahawan sosial baru setiap tahun, mencipta 140,000 pekerjaan sepenuh masa dalam ekonomi sosial dan model ini direplikasikan di komuniti lain sehingga mewujudkan kesan berganda dan limpahan ekonomi (multipliers and spillover effects).

Manakala, Norway dan Sweden pula menumpukan kepada sokongan pertumbuhan yang mampan, kelebihan daya saing inovasi, pembiayaan penyelidikan berdasarkan isu dan cabaran dengan menitikberatkan penggunaan teknologi.

Tambah Ahmad Amzad, meskipun dalam kesibukan menguruskan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan, agenda sains, teknologi dan inovasi negara tetap menjadi tunggak utama negara dan merupakan pemangkin proses transformasi ekonomi inklusif dan progresif yang dipacu ilmu dan inovasi.

Ujar beliau, berdasarkan kepada Pengumuman Khas Belanjawan Tahun 2020, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi pembangunan Social Enterprise (SE).

Sebanyak RM10 juta diperuntukkan kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk memperkasa ekosistem inovasi sosial yang dapat memberikan impak positif kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar dan RM10 juta lagi diterajui oleh Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), ujarnya.

Katanya, tahun 2021 merupakan tahun pertama pelaksanaan Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia yang mana pelbagai program telah dirangka bagi memperkasa ekosistem inovasi sosial yang mengkhususkan kepada pencarian produk-produk inovasi, pembangunan bakat, memperhebat inovator akar umbi, replikasi teknologi R&D tempatan ke komuniti setempat serta mengantarabangsakan duta-duta inovasi sosial ke peringkat global.

Menurut Ahmad Amzad, inovasi merupakan antara elemen utama dalam memacu ekonomi sesebuah negara sementara produk atau perkhidmatan yang melalui proses inovasi akan mempunyai nilai tambah dan lebih berdaya saing berbanding lain-lain produk biasa di pasaran.

“Namun, penghasilan produk inovasi yang mempunyai nilai tambah ini memerlukan pengurusan yang sistematik dan teratur.

“Semenjak dilaksanakan pada 2015, program MySI ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan B40 bagi meningkatkan keupayaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan menerusi aplikasi teknologi tempatan.

“Pada tahun ini, Dana MySI 2021 menawarkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta dan ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif di dalam usaha menangani isu-isu komuniti setempat seterusnya dan melonjak ekonomi negara dari negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi (technology users to technology providers) serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette