Home Nasional Keluarga saya dalam kegelapan, tak tahu masa depan kami – Joyce

Keluarga saya dalam kegelapan, tak tahu masa depan kami – Joyce

Isteri salah seorang mangsa kemalangan LRT baru-baru ini yang kini dirawat di ICU, Joyce Wong bercakap pada sidang media mengenai tuntutan pampasan sebanyak RM1.8 juta daripada Prasarana Malaysia Bhd di Wisma Ra, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd diberikan tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tuntutan yang dikemukakan oleh keluarga salah seorang mangsa kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini, Wong Chee Foong.

Isterinya, Joyce Wong, 42, berkata, surat tuntutan itu antara lain mahu syarikat pengendali LRT berkenaan membayar pampasan berjumlah RM1.8 juta kepada keluarganya.

Jelasnya, jumlah itu munasabah memandangkan suaminya yang berusia 52 tahun mengalami kecederaan yang parah akibat kemalangan itu.

Menurut Joyce, berdasarkan kecederaan parah yang dialami suaminya, masa depan Wong selepas ini yang perlu menyara empat orang anak selain dirinya semakin kabur.

“Wong ada empat anak untuk disara sekarang keluarga saya dalam kegelapan , kami tidak tahu apa masa depan kami selepas ini.

Adakah Wong dapat bekerja seperti sebelum ini? Adakah beliau dapat berjalan semula,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Turut hadir peguam bela keluarga itu, Jazzmine Khoo Wei Ching.

Joyce seterusnya berkata, mereka sekeluarga kini mengalami tekanan emosi apabila memikirkan masa depan Wong yang sehingga kini masih belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Wong dan isterinya mempunyai empat orang anak yang kini berusia 15,14, 6 dan tiga tahun.

Joyce yang merupakan warganegara Thailand turut memaklumkan, salah seorang empat anak  mereka merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dilaporkan, akibat kemalangan pertembungan LRT pada 24 Mei yang lalu itu,  Wong mengalami kecederaan di serius di kepala dan tulang belakang.

Sementara itu, Joyce berkata, bantuan khas RM1,000 yang diumumkan Prasarana baru-baru ini tidak cukup untuk menampung masa depan suaminya yang kini tidak menentu akibat kemalangan tersebut.

Selain masih belum menerima bantuan berkenaan  beliau turut mendakwa sejak kejadian sehingga sekarang Prasarana tidak pernah menghubungi keluarga mangsa itu.

“Bantuan itu tidak cukup,” tegasnya.

Joyce dan keluarga suaminya terbuka sekiranya Prasarana tampil bertemu dan berbincang dengan mereka untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Dalam pada itu, Jazzmine pula berkata, perkembangan tentang tindakan daripada pihak anak guamnya akan diumumkan selepas tujuh hari berdasarkan respon daripada Prasarana.

Untuk rekod, seramai 213 penumpang  terlibat dalam kemalangan melibatkan dua LRT laluan Kelana Jaya baru-baru ini.

Tiga daripadanya mengalami cedera parah dan dirawat di ICU HKL. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keluarga mangsa kemalangan LRT tuntut RM1.8 juta daripada Prasarana