Home Nasional Pasukan pembelaan Najib tuntut dokumen keluarga Zeti terima dana dari Jho Low

Pasukan pembelaan Najib tuntut dokumen keluarga Zeti terima dana dari Jho Low

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mendengar tuntutan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan pembabitan anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga menuntut dokumen berkaitan bank pelaburan Amerika Goldman Sachs di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menuntut pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen termasuklah fakta berkaitan dakwaan keluarga Zeti menerima wang daripada Low Taek Jho atau dikenali Jho Low.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Gopal Sri Ram bangkit mempersoalkan sama ada permohonan itu relevan kerana berpendapat ia tidak ada kena mengena dengan kes penyewelengan dan penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.

Bagaimanapun Muhammad Shafee berkata, Najib telah mendakwa beliau telah melantik sebagai pemegang amanah untuk menguruskan akaun banknya dengan dana dalam akaun itu menerima sumbangan Arab Saudi.

“Jadinya pasti dokumen yang kita minta yang berkaitan dengan bekas Gabenor BNM ini relevan. Sekiranya benar ahli keluarga Zeti ada menerima sejumlah wang dari Jho Low maka kredibilitinya akan dipersoal,” ujarnya.

Sementara itu Gopal Sri Ram berkata, mahkamah perlu melihat bukti secara keseluruhan selepas keterangan saksi kepada pendakwaan diperiksa balas oleh pasukan pembelaan.

“Ini bukan peringkat untuk memutuskan kewibawaan saksi. Apa yang didakwa diterima keluarga Zeti tidak relevan langsung dengan sama ada tertuduh (Najib) menyalahgunakan kuasa atau tidak, itu sahaja,” ujarnya.

Zeti yang memegang jawatan Gabenor Bank Negara pada 2000 hingga 2016 disenaraikan sebagai saksi pendakwaan untuk perbicaraan 1MDB.

Collin kemudian memutuskan 12 Julai ini untuk memberikan keputusan bagi kedua-dua permohonan Najib berhubung dokumen-dokumen berkaitan.

Pada 24 Mac lalu, pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata bank dan dokumen lain kepada pihak pembelaan, yang dipercayai berkaitan dengan Jho Low dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April pasukan pembelaan Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs.

Antara yang dilaporkan mengatakan Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5bil (RM10.4bil) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4bil (RM5.8bil) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs yang melibatkan komunikasi Leissner.

Najib  dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette