KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan import (CBU).
Pengecualian itu pernah diumumkan di bawah inisiatif Penjana mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 31 Disember ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah, kerajaan turut bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga akhir tahun ini.
Pengurangan sewa itu sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa.
“Selain itu, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel yang diumumkan sebelum ini dilanjutkan sehingga 31 Disember ini masih berterusan,” katanya mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).
Muhyiddin menambah, kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas.
Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil sebanyak 10%.
Diskaun itu selama tiga bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.- MalaysiaGazette