Home Nasional Peratusan penerima vaksin di Pahang masih rendah – MB

Peratusan penerima vaksin di Pahang masih rendah – MB

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Nampaknya selain Kelantan, Pahang juga menjadi negeri yang mencatatkan peratus ketidakhadiran yang tidak memuaskan dalam proses pemberian vaksin.

ia dinyatakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana ada dalam kalangan rakyat negeri itu tidak hadir menerima vaksin walaupun sudah mendaftar di aplikasi My Sejahtera.

“Pahang mencatatkan isu pendaftaran vaksin rendah dan peratus ketidakhadiran juga tidak memuaskan bagi menerima suntikan di PPV,” katanya daam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Wan Rosdy, seramai 13,425 atau 23.1 peratus rakyat Pahang yang yang telah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi Aplikasi MySejahtera gagal hadir di pusat pemberian vaksin (PPV) dengan pelbagai alasan.

Antara alasan sering digunakan ialah tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan alasan tidak tahu mengenai lokasi, masa dan tarikh yang ditetapkan untuk menerima vaksin.

Ada juga memberi alasan terlupa, kata Wan Rosdy.

Menurutnya, Raub menjadi daerah yang mencatatkan antara ketidakhadiran penerima vaksin yang tinggi iaitu sebanyak 45 peratus selain Pekan dan Maran yang masing 43 dan 40 peratus.

Manakala bagi Bera sebanyak 28 peratus Bentong dan Jerantut masing-masing 22 peratus, Temerloh mencatatkan sebanyak 18 peratus diikuti Rompin sebanyak 17 peatus.

Daerah Kuantan pula mencatatkan sebanyak 15 peratus, Lipis 14 peratus dan Cameron Highlands sebanyak 9 peratus.

“Ada juga warga emas yang berubah fikiran setelah terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai pemvaksinan seperti disampaikan oleh ahli keluarga dan sahabat serta yang tular di media sosial.

“Justeru saya sarankan kepada kesemua mereka yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin supaya sentiasa menyemak aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing.

“Kepada anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sudah berusia, bantulah mereka untuk menyemak dan sering ingatkan mereka mengenai tarikh, masa dan lokasi untuk menerima suntikan vaksin,” rayunya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Vaksin: Sejauh mana kesedaran masyarakat kita?

Pendaftaran vaksin semakin meningkat – Sallehuddin

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengharapkan maklum balas seluruh rakyat Pahang mengenai punca dan alasan mereka yang telah mendaftar tetapi gagal untuk hadir mendapat suntikan vaksin.

“Sebenarnya kenapa tidak hadir untuk menerima suntikan selepas mendaftar sebagai pemohon vaksin, apakah juga kerana terdapat masalah pengangkutan?

“Kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok (herd immunity) dengan segera dan ini hanya boleh tercapai jika sebahagian besar kita telah disuntik vaksin.

“Ia agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak pandemik Covid-19 seterusnya dapat kembali menjamin kesihatan awam yang akan dimanfaati oleh kita juga,” katanya. – MalaysiaGazette