KUALA LUMPUR – Kesemua operasi kaunter perkhidmatan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara ditutup sementara bermula 1 Jun ini sehingga diberitahu kemudian melainkan urusan janji temu bagi perkara kritikal sahaja.
Antara urusan kritikal ini adalah seperti pindahan simpanan dan pindahan telegrafik melebihi had harian di saluran dalam talian, pembatalan haji dan tuntutan pusaka & hibah amanah yang mendesak.
TH berkata, sepanjang tempoh ini, para pendeposit dan orang ramai yang ingin membuat urusan kritikal tersebut di cawangan perlu memohon janji temu dengan melayari laman web www.tabunghaji.gov.my.
Janji temu yang dilakukan sebelum 31 Mei 2021 adalah terbatal secara automatik dan perlu dibuat semula bagi urusan kritikal sahaja.
Menurutnya, kehadiran di cawangan tanpa membuat janji temu adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad menyarankan para pendeposit untuk melakukan transaksi melalui platform dalam talian yang disediakan menerusi aplikasi THiJARI.
Pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara masa nyata (real-time) selain boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX.
Para Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan Perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank.
Selain itu juga, pendeposit boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui JomPay di perbankan Internet bank masing-masing.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di talian 03-6207 1919. – MalaysiaGazette