Home Nasional Rapid tamatkan perkhidmatan bas di Kamunting

Rapid tamatkan perkhidmatan bas di Kamunting

Rapid Kamunting akan mengakhiri perkhidmatannya pada 15 Jun ini.

KUALA LUMPUR – Rapid Kamunting di Perak akan menamatkan perkhidmatannya pada 15 Jun ini  selepas beroperasi selama lebih lima tahun.

Perkhidmatan bas ini dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn. Bhd. – anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Memulakan operasi pada Mac 2016, Rapid Kamunting, yang merupakan satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh kerajaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping dan Prasarana, menyediakan perkhidmatan di tiga laluan – Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana – Kg Boyan).

Rapid Bus berkata, penamatan perkhidmatan itu diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal perkhidmatannya.

Rapid Kamunting diadakan sebagai usaha memangkinkan pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan dan kemudahan rakyat serta penduduk setempat.

“Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019. Selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak lagi menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting.

”Namun begitu, Rapid Bus telah meneruskan perkhidmatan atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, seperti juga syarikat-syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan impak Covid-19 apabila berlaku kemerosotan jumlah penumpang kepada 30 peratus sahaja.

Rentetan daripada keadaan yang semakin meruncing tersebut operasi Rapid Kamunting berhadapan dengan cabaran yang getir untuk menampung kos pengoperasian.

“Rapid Bus memohon maaf daripada pelanggan-pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan kami.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan semua pelanggan kami dan juga atas sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette