Home Seni Hidup Tulisan asal yang dipapar bukan dari saya – Pengurus IG Kartini

Tulisan asal yang dipapar bukan dari saya – Pengurus IG Kartini

Noor Kartini Noor Mohamed dan Zulshafiqah Zulkafli (kiri).

KUALA LUMPUR – Pengurus Media Sosial akaun Instagram (IG), Datin Noor Kartini Noor Mohamed iaitu  memohon maaf dan mengaku kesilapan melakukan tangkap layar hantaran yang mempertikaikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam.

Menerusi kenyataan media, Zulshafiqah Zulkafli mengakui, dia tersilap memuat naik tangkap layar yang menyebabkan isu berkenaan tular.

“Saya ingin menyatakan permohonan maaf atas isu yang tular dalam media sosial berhubung tangkap layar dalam Instagram Datin Noor Kartini.

“Secara jujur, saya ingin menjelaskan keadaan sebenar yang sudah berlaku. Saya sebagai Pengurus Media Sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini tersilap memuat naik tangkap layar,” katanya.

Zulshafiqah menjelaskan, tangkap layar berkenaan bertujuan untuk rujukannya sahaja, tiada sebarang niat dimuat naik dalam IG Datin Noor Kartini mahupun IG peribadinya.

“Gambar dan tulisan asal yang dipaparkan bukan penulisan saya mahu pun Datin Noor Kartini.

Zulshafiqah Zulkafli muat naik permohonan maaf dalam IG.

Ekoran itu, Zulshafiqah berharap permohonan maaf diterima dengan baik dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama lagi.

“Dengan rasa hormat dan rendah diri patik kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh kerabat diraja Johor, patik merafak sembah memohon maaf atas kecuaian terjadi.

“Saya juga merendah diri memohon maaf kepada Datin Noor Kartini serta keluarga atas kecuaian saya yang sudah menimbulkan masalah kepadanya sekeluarga.

“Dengan ini, saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama dan sekali lagi, memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku,” katanya.

Semalam, Noor Kartini telah membuat laporan polis Balai Polis Taman Tun Dr Ismail mendakwa salah seorang pekerjanya menyalahguna akaun IG untuk tujuan peribadi.

Ia ekoran perkongsian di IG Story Noor Kartini yang dilihat mempertikaikan titah Sultan Ibrahim. Perkongsian imej Sultan Ibrahim berhubung titah berkaitan isu cadangan sekatan penuh bersasar bagi menangani penularan Covid-19 itu bagaimanapun segera dipadam dalam masa beberapa minit. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu Neelofa buat laporan polis, nafi hina Sultan Johor