BUKIT MERTAJAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) kini sedang meneliti beberapa pakej bantuan zakat susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) fasa pertama membendung penularan Covid-19 bermula esok.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, bantuan zakat itu akan diberikan kepada mereka yang terkesan akibat pelaksanaan SPP.
“Pakej bantuan ini akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui platform media sosial ZPP sedia ada.
“Sebagai makluman, pada tahun lalu, ZPP menyalurkan sebanyak RM15.9 juta bagi pakej bantuan fasa pertama dan kedua kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Amran memberitahu operasi semua kaunter pejabat cawangan seluruh negeri serta ibu pejabat ZPP akan ditutup sepanjang SPP.
Jelasnya, penutupan dilakukan susulan institusi zakat tidak disenaraikan secara spesifik oleh kerajaan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.
“Tempoh penutupan operasi kaunter ini tertakluk kepada pengumuman terkini situasi semasa negara bagi Fasa Pertama, manakala Fasa Kedua dan Ketiga akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri nanti.
“Bagi memudahkan orang ramai berhubung dengan ZPP dalam tempoh SPP ini, beberapa talian hotline akan dibuka dan dipaparkan dalam media sosial rasmi ZPP.
“Pembayar zakat yang ingin membayar zakat, boleh berbuat demikian melalui portal zakatpenang2u.com,” katanya. – MalaysiaGazette