Home Utama 800,000 penjawat awam sumbang imbuhan tetap ke Akaun Amanah Bencana – KSN

800,000 penjawat awam sumbang imbuhan tetap ke Akaun Amanah Bencana – KSN

Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Sebahagian Imbuhan Tetap Kerajaan (ITK) dan Awam (ITKA) melibatkan penjawat awam bagi pengurusan tertinggi dan rendah akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka melibatkan penjawat awam Jusa A, B dan C serta Gred 44 hingga 56 bagi ITK dan Gred 29 hingga 41 bagi ITKA.

Katanya, sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam ini (tidak termasuk barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

“Sumbangan ini sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam membantu kerajaan memperkasa rakyat dan negara ketika berdepan dengan ancaman wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program terdahulu.

Pelbagai inisiatif diumumkan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara, menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas.

Muhyiddin turut mengumumkan setiap Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan sebagai tanda prihatin dan menyumbang kepada usaha murni ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan adalah Jusa A ke atas, kadar sumbangannya sebanyak 50 peratus, diikuti Jusa B (20 peratus), Jusa C (10 peratus), Gred 44 hingga Gred 56 (lima peratus), manakala penjawat ITKA bagi Gred 29 hingga Gred 41 sebanyak RM10 selama tempoh tiga bulan.

Jelas beliau, surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kita memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan kami dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan lekuk jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga,” katanya.

Beliau mengajak seluruh rakyat dan penjawat awam untuk meneruskan ikhtiar serta meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan negara berjaya mengharungi tempoh mencabar ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. solidariti kepala hotak ko laaa…solidariti tu volunteer..bukan secara paksa…tu duit pendapatan rakyat…duit titik peluh mrk bekerja…ko bukan nak bertanya dan minta kebenaran..dgn Ceupacs pun ko tak runding..Ceuoacs dah jd mcm tungguk kayu..ko ni.dah mcm perompak plak..pendapatan rakyat yg ciput tu plak ko potong ikut suka ko mcm duit bapak ko laaa..rakyat dah lah susah..ko tambah beban lg…

Comments are closed.