KUALA LUMPUR – Pergerakan kenderaan di Bandar Menjalara, Kepong pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh masih tinggi, tidak ubah seperti sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang turun meninjau sekatan jalan raya (SJR) berkata, daripada jam 7 pagi hingga 11 pagi, volum pergerakan kenderaan di kawasan tersebut masih tinggi walaupun pemeriksaan polis mendapati kebanyakan pemandu teribat dengan perkhidmatan penting.
“Setakat ini tiada sebarang perlanggaran SOP dikesan di sini pada hari pertama ini.
“Kita memeriksa teliti satu persatu setiap kenderaan sebab pergerakan mereka dan juga dilangkapi dokumen yang menyokong alasan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, pasukannya akan memberi perhatian serius dan pemeriksaan lebih ketat bagi mengelak orang ramai tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan untuk kepentingan peribadi.
“Kita ada satu pendekatan sahaja iaitu pemeriksaan ketat, kita soal mereka sebab munasabah pergerakan dengan disokong dokumen kukuh.
“Kalau tidak mahu mencetuskan kesesakan dan bermasalah semasa pemeriksan, lebih baik elak alasan remeh hendak membeli makanan sebaliknya menggunakan khidmat dalam talian untuk segala urusan yang penting,” ujarnya.
Sementara itu, Eng Lai berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian terhadap penghantar makanan e-hailing bagi mengelak mereka membawa barang terlarang yang menyalahi undang-undang.
“Ada sejarah terlibat penyalahgunaan khidmat dengan membawa dadah dan ditangkap sebelum ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan mereka boleh mengambil kesempatan mengulangi perbuatan sama kali ini, maka kami memperketatkan pemeriksaan ke atas mereka,” ujarnya.-MalaysiaGazette