GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kononnya projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) ada kepentingan kepada sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, PSR dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang akan menjadi pemacu pemulihan utama ekonomi rakyat ketika dan selepas krisis Covid-19.
Jelasnya, krisis ekonomi yang tercetus akibat pandemik akan menjadikan PSR sebagai satu projek yang penting untuk pembangunan negeri.
“Berdasarkan satu kajian bebas yang dibuat oleh PricewaterhouseCoopers menunjukkan PSR mampu menarik RM70 bilion pelaburan langsung asing dan mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh 30 tahun.
“Seperti Zon Industri Bebas Bayan Lepas sebelum ini, PSR adalah projek untuk masa depan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, menerusi PSR kerajaan negeri turut menawarkan pakej dan program ex-gratia yang bertujuan untuk memberikan faedah jangka panjang kepada 1,615 nelayan yang terjejas.
Kata beliau, pakej ex-gratia yang ditawarkan kepada para nelayan adalah pakej bayaran berskala besar yang lumayan di Malaysia.
“Bukan sahaja bayaran tunai, mereka juga akan menerima bot dan enjin baharu, membawa jumlah nilai pakej tersebut kepada hampir RM60,000 setiap seorang tertakluk kepada kategori. Boleh dikatakan ini semua adalah pelaburan modal yang mereka tidak akan mampu memperolehi secara sendiri.
“Selain itu, mudah untuk mendakwa tambakan laut adalah buruk untuk alam sekitar, namun hakikatnya tambakan laut boleh mewujudkan tahap keselamatan boleh ramal serta berfungsi sebagai salah satu cara mitigasi impak perubahan iklim.
“Singapura adalah contoh yang baik di mana tambakan laut dilaksanakan bagi menangani kesan perubahan iklim,” katanya.
Tambah Zairil, bagi meyakinkan Nurul Izzah, kerajaan negeri sedia mengatur perjumpaan bersama nelayan yang terlibat agar dapat gambaran yang lebih tepat bukannya bersandarkan kepada nasihat yang salah.
“Selain itu, tidak seperti Nurul Izzah, saya telah membesar, bekerja serta merancang untuk bersara di Pulau Pinang. Jadi saya mengharapkan kita dapat mewujudkan peluang terbaik bukan sahaja untuk rakan-rakan sebaya tetapi lebih penting lagi untuk anak cucu kita.
“Tanpa PSR, saya bimbang anak-anak kita akan terus meninggalkan negeri ini untuk mencari hujan emas di negeri orang seperti yang sering berlaku sebelum ini,” jelas Zairil.
Media tempatan semalam melaporkan, Nurul Izzah menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya membatalkan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dengan serta-merta.
Beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.
“PSR yang diumumkan pada tahun 2015 asalnya bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Walaupun saya bersama rakan-rakan parti pada awalnya menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, keraguan mula timbul apabila PTMP diubah untuk merangkumi lebuhraya mega merentasi bukit dan sungai, transit aliran ringan, monorel, skycab dan pelan tambakan laut,” dakwa Nurul Izzah. – MalaysiaGazette