Home Nasional 2 maut van bawa pekerja Nepal terbalik

2 maut van bawa pekerja Nepal terbalik

Pekerja=pekerja warga Nepal yang terselamat dalam nahas kemalangan di Jalan Stulang Laut pagi ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu warga tempatan dan seorang pengawal keselamatan warga Nepal maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Stulang Laut, menghala ke Bandar, berhampiran Hospital Thompson pagi ini.

Manakala 8 orang lagi mangsa yang kesemuanya warga Nepal cedera termasuk tiga yang dilaporkan parah.

Petugas paramedik memberi rawatan kepada seorang pekerja yang terlibat dalam nahas jalan raya di Jalan Stulang Laut.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Bomba berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 7.45 pagi dan setibanya di kawasan kejadian mendapati sebuah van Toyota Hiace yang membawa pekerja keselamatan terbalik di atas jalan.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku selepas pemandu tidak dapat mengawal pemanduannya.

”Van berkenaan dikatakan terbabas dan melanggar penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette pagi ini.

Menurutnya, dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan tercampak keluar dari van berkenaan. – MalaysiaGazette