KUALA LUMPUR – Insiden 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dikesan menghampiri ruang udara Malaysia pada Isnin telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.
Kebanyakan orang awam menzahirkan kekhuatiran mereka mengenai ‘pencerobohan’ yang berlaku serta menyifatkan insiden sedemikian mampu mengganggu gugat keamanan negara.
Seorang pekerja swasta, Nik Mohd Mahyudin, 40, memohon kerajaan untuk mengambil suatu bentuk tindakan segera dalam menangani insiden pesawat China itu.
“Pada pendapat saya sekiranya ada pencerobohan daripada mana-mana negara asing yang datang ke negara ini memang amat merisaukan kerana kita tidak tahu apakah motif kedatangan mereka, mungkin ada dari segi ‘hidden agenda’.
“Sebagai rakyat, saya harapkan kepada kerajaan untuk terus mengambil tindakan segera supaya insiden seperti ini tidak berulang, tambah-tambah lagi sebelum ini dikatakan ada pesawat Israel yang didakwa melalui ruang udara di Putrajaya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Sementara itu, pesara, Halim Sulaiman, 60, berpendapat pihak berwajib perlu terus memantau insiden berkenaan kerana pesawat yang dikesan berada di ruang udara nasional merupakan dari negara luar.
“Isu seperti ini perlu berada di bawah pemantauan pihak yang berkenaan kerana pesawat yang berada di ruang udara nasional merupakan pesawat dari luar, perkara ini memang lah membimbangkan kerana kita tidak kacau negara orang.
“Lebih-lebih lagi bukan satu pesawat tetapi 16 kesemuanya jadi ini dah dikira menceroboh, kita risau jika mereka buat perkara di luar jangka jadi kerajaan perlu buat sesuatu,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi Shahamah Razak, 31, insiden pesawat China itu merupakan sebuah isu besar yang perlu diteliti kesannya oleh kerajaan kerana ia membabitkan ruang udara nasional.
“Pendapat saya laluan udara itu penting jadi bila ada pesawat walaupun kita tahu dari China tapi bila pesawat itu masuk ruang udara which is tak lalu ruang penerbangan antarabangsa jadi boleh dikira melanggar kedaulatan negara.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia mestilah kita rasa insecure kerana ini negara kita, jadi pihak berwajib patut ambil tindakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang terbang pada ketinggian 23,000 dan 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots.
Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pesawat mencurigakan itu telah memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada pagi Isnin. – MalaysiaGazette