Home Nasional Johor bakal lancar Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0

Johor bakal lancar Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0

Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor akan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 dalam masa terdekat bagi memastikan rakyat di negeri itu terbela berikutan penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bantuan pusingan ketiga itu membuktikan Johor sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Selain PRE Ihsan Johor 3.0 yang akan mula diagihkan, kerajaan Johor juga memperuntukkan RM10 juta bagi pemberian bakul makanan pada rakyat terjejas ketika ini.

“PRE Ihsan Johor 3.0 fokus kepada dua perkara, iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik Johor selain mengukuhkan bantuan keselamatan sosial kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Setakat 23 Mei lalu, seramai 295,464 orang menerima manfaat daripada PRE Ihsan Johor 1.0 dengan peruntukan berjumlah RM167.33 juta manakala seramai 387,674 orang menerima bantuan PRE Ihsan Johor 2.0, ujarnya.

Menurut Hasni, PRE Ihsan Johor 3.0 akan dilaksanakan segera bagi memulihkan semula ekonomi negeri itu. – Malaysiagazette