Home Pendapat Kita bina semula Gaza

Kita bina semula Gaza

Situasi di Gaza selepas dibedil Israel. foto Agensi

SERANGAN ganas rejim Zionis terhadap Gaza, Palestin baru-baru ini mengingatkan kembali penulis yang pernah ke sana pada 15 hingga 23 Januari 2013 dalam misi kemanusiaan anjuran Aqsa Syarif (MyCARE), Aqsa2Gaza 13. Ditakdirkan misi kami dilaksanakan setelah selesai dua misi kemanusiaan Aqsa Syarif iaitu Aqsa2Gaza 11 yang turut disertai Dato’ Afdlin Shauki pada Disember 2012 dan misi Aqsa2Gaza 12 yang membawa lebih RM2.65 juta dengan pelbagai jenis bantuan seperti pembinaan semula rumah-rumah yang rosak, makanan, bahan binaan, pakaian musim sejuk, ubatan, keperluan sekolah dan sebagainya.

Misi kami, Aqsa2Gaza 13 agak unik dan berbeza dengan misi lain iaitu memfokuskan projek kesenian dengan kerjasama Universal Music Malaysia dan projek fotografi, Lensa Gaza (LG) untuk menterjemahkan suasana kehidupan selepas perang Hijjaratus Sijjin (November 2012) di samping lawatan ke hospital dan tapak-tapak projek sumbangan rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif.

Dalam apa-apa misi Aqsa Syarif, demi menyalurkan sumbangan kemanusiaan ke Gaza atau tempat lain semaksimum mungkin, semua peserta perlu menanggung sendiri semua kos perjalanan dan perbelanjaan di sana. Selepas kami mendarat di Kaherah pada 16 Januari 2013, kami bergabung dengan beberapa orang pelajar Malaysia di Jordan yang turut menyertai misi. Kami dibawa dengan dua buah van yang disewa dan menempuh perjalanan hampir lapan jam untuk ke sempadan Gaza yang melalui sekurang-kurangnya tujuh tempat pemeriksaan (checkpoint) tentera Mesir.

Usai tiba di Rafah, Gaza dan pengesahan pasport, kami disambut dengan penuh mesra dan ukhuwah oleh anggota keselamatan, para pegawai kerajaan dan NGO yang bekerjasama di sana. Tidak tergambar langsung sebarang kesedihan di wajah mereka melainkan keceriaan. Pengalaman pertama, saya agak terkejut kerana delegasi misi kami dibawa ke hotel penginapan dengan bas!

“Aik, kat Gaza pun ada bas?” getus hati kecil saya. Ini kerana saya terfikir betapa deritanya rakyat Gaza yang serba kekurangan, tapi masih ada bas walaupun hidup dalam kepungan tembok aparteid Zionis yang terbesar di dunia. Sepanjang perjalanan menuju hotel penginapan di utara Gaza dengan alunan lagu bersemangat dan perjuangan berbahasa Arab, kami dihidangkan dengan pemandangan indah ombak Laut Mediterranean di pantai Gaza dan kesibukan bandarnya yang penuh dengan kenderaan dan aktiviti perniagaan.

“Susah-susah pun masih ada kenderaan. Macam mana mereka beli dan dapatkan kenderaan ni?” bisik hati saya tertanya-tanya. Kemudiannya saya difahamkan bahawa kebanyakan kenderaan diseludup menggunakan terowong sama ada dalam bentuk sebuah kenderaan atau bahagian-bahagian kenderaan yang belum dipasang untuk dipasang di Gaza. Hebatnya survival mereka!

Bukan itu sahaja, apa yang paling diingati ialah layanan mereka kepada kami sebagai tetamu sangatlah ramah dan penuh penghormatan. Setiap hari di sana kami dijamu dengan makanan yang mewah, seolah-oleh kami yang ‘kesusahan’, bukan mereka.
Kami dibawa ke kawasan ladang oren yang musnah dibedil jet Zionis, meninggalkan lubang yang sangat besar.

Walaupun sebahagian besar ladang musnah, pemiliknya bermurah hati menghadiahkan buah-buah oren kepada anggota misi untuk dirasai. Kami turut dibawa ke kawasan projek industri, Malaysian-Palestinian Industrial Village (MyPIV)  di Jabalia yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Aqsa Syarif, yang musnah dibom Zionis.

Suasana penuh emosi apabila anggota-anggota misi yang diketuai Dr Tahir Abdul Rahman
mencantumkan semula kepingan-kepingan batu asas perasmian kawasan projek industri
tersebut pada Mei 2012 yang mempunyai logo Malaysia, Palestin dan Aqsa Syarif.

Cantuman-cantuman ini adalah sebagai tanda simbolik bahawa walaupun runtuh berkali-kali kerana dibom Zionis sekalipun, rakyat Malaysia akan terus membantu, menyumbang dan membina semula Gaza. Anggota misi juga dibawa ke tempat-tempat projek kerjasama Aqsa Syarif yang masih selamat daripada serangan Zionis seperti kilang roti, kedai nasi Arab, kolam ternakan ikan, ladang lembu, kebun buah-buahan dan banyak lagi.

Ini membuktikan bahawa projek-projek sumbangan rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif
(MyCARE) memang sampai, dibangunkan dan berkembang maju. Setelah lapan tahun berlalu, Gaza telah melalui dua peperangan besar dengan Israel pada 2014 dan yang terbaru Mei 2021. Ini kerana memang tujuan rejim negara haram itu ingin melumpuhkan ekonomi Gaza yang sudah sedia parah, memusnahkan infrastruktur di sana dan membunuh generasi rakyatnya.

Ya, Zionis boleh melumpuhkan semua itu. Tetapi, hanya satu yang tidak mampu dilumpuhkan sampai bila-bila iaitu keyakinan dan semangat yang sangat kuat rakyat Gaza untuk bebas, tidak tunduk dengan sebarang tekanan dan terus bangkit untuk membina semula Gaza yang tercinta.

Ayuh rakyat Malaysia, kita bina semula Gaza bersama-sama. Palestin pasti menang dan
merdeka!

Mohammad Hafizuddin bin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia