Home Nasional Lebuhraya Persekutuan hampir lenggang selepas 10 malam

Lebuhraya Persekutuan hampir lenggang selepas 10 malam

Anggota polis dan anggota tentera melakukan pemeriksaan kenderaan semasa sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Lebuhraya Perseketuan, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 10 hingga 15 peratus kenderaan sahaja yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 setakat jam 8 malam tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kebanyakan kenderaan yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kota Darul Ehsan, di sini, sejak 8.30 malam hingga 10 malam tadi adalah dalam kalangan petugas kesihatan.

Ini kerana terdapat beberapa hospital berdekatan SJR berkenaan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Assunta dan Hospital Columbia Asia yang terletak di Petaling Jaya.

Walaupun SJR di Kota Darul Ehsan tidak mengalami kesesakan di waktu malam, namun jumlah kenderaan yang melaluinya menghala ke ibu negara silih berganti dan ini menimbulkan tanda tanya.

Bagaimanapun tiada kenderaan yang ditahan mahupun dikenakan kompaun sepanjang pemantauan MalaysiaGazette pada malam ini.

Anggota polis dan anggota tentera melakukan pemeriksaan kenderaan semasa sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Lebuhraya Perseketuan, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JUN 2021.

Kebanyakan pengguna jalan raya sama ada kereta mahupun motosikal yang diperiksa mempunyai dokumen kebenaran yang sah iaitu surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pemeriksaan turut dilakukan ke atas pengangkutan awam iaitu bas Rapid KL bagi memastikan tiada cubaan rentas negeri dan daerah dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk warga asing.

Malah pemandu bas juga memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menyatakan jumlah penumpang yang dibawa ketika melalui SJR terbabit. – MalaysiaGazette