Home Nasional LGMPC ambil tindakan terhadap SedarMalaysia

LGMPC ambil tindakan terhadap SedarMalaysia

KUALA LUMPUR – LGM Properties Corporation (LGMPC) hari ini mengambil tindakan undang-undang terhadap laman Facebook SedarMalaysia kerana gagal memenuhi tuntutan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menurut kenyataan LGMPC, tuntutan itu dibuat berikutan kenyataan dan tuduhan berbaur fitnah berkenaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi LGMPC yang diterbitkan SedarMalaysia.

“Berikutan daripada itu, LGMPC telah memberikan tempoh 48 jam kepada SedarMalaysia untuk menurunkan artikel berkaitan dan memberi kenyataan permohonan maaf secara terbuka serta siaran permohonan maaf tersebut disaluran media aliran perdana, media-media sosial dan laman sesawang terlibat melalui kenyataan media pada 31 Mei 2021, namun LGMPC mendapati SedarMalaysia telah gagal memenuhi tuntutan
tersebut,” katanya.

LGMPC merupakan perbadanan milik Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Sehubungan itu katanya, LGMPC telahpun mengarahkan Tetuan Srihana Mohamad & Partners untuk meneruskan tindakan undang-undang secara terancang terhadap SedarMalaysia bagi menjaga reputasi dan melindungi kepentingan LGMPC.

Sebelum ini, tular di media sosial ada pihak membangkitkan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran.

Ia mengaitkan bekas Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Ahmad Nazlan bagaimanapun dilapor bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya beliau terlibat dengan salah laku itu.

Katanya, beliau tidak terlibat dalam hal itu kerana telah meninggalkan jawatan tersebut pada 14 April lalu setelah ditamatkan kontrak.

Menurut Ahmad Nazlan, satu Jawatankuasa ditubuhkan dan tindakan serta langkah penambahbaikan telah dibuat oleh LGM sebelum ini, namun menteri berkenaan campur tangan dan membiarkan LGMPC berjalan seperti biasa. – MalaysiaGazette