KUALA LUMPUR – Lima individu dan pemilik gerai makanan dikompaun kerana pengingkari prosedur operasi standard (SOP), kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob.
Katanya, pemeriksaan pasukan pemantau polis yang terlibat dalam pemantauan Op Khas PKP memeriksa sebuah komplek perniagaan enam tingkat di ibu kota pada jam 12.45 tengahari tadi.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima orang pelanggan sedang leka duduk menjamu selera di premis tersebut dengan melanggar arahan SOP PKP (tidak dibenarkan makan di premis makan).
“Tanpa kompromi kompaun terus dikeluarkan terhadap mereka iaitu RM20,000 atas kesalahan di bawah Peraturan 16 P.U (A) 243/2021 (PKP).
“Mengikut pecahan setiap pelanggan dikompaun RM2,000 manakala pemilik premis itu pula dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan duduk dan menjamu di restorannya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan seperti ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa di seluruh ibu negara setiap masa.
“Jika berlaku sebarang perlanggaran,maka tindakan tegas akan diambil ke atas orang ramai yang gagal mematuhi SOP PKP demi memastikan usaha memutuskan rantaian Wabak Covid–19 ini berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette