Home Seni Hidup Aleeya Shafika jaga ibu, urus adik selepas kematian bapa

Aleeya Shafika jaga ibu, urus adik selepas kematian bapa

Aleeya Shafika (duduk kanan sekali) bukan sahaja menguruskan ibunya ketika didalam pantang,malah mengurukan adik-adiknya yang masih kecil.

JOHOR BAHRU – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah nasib seorang ibu tunggal beranak tujuh yang telah kematian suami sebaik sahaja selepas bersalin tahun lalu di Larkin Perdana di sini yang hilang tempat berpaut ketika anak-anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun Nurul Isma Azizi, 33, bernasib baik apabila anak perempuannya berusia 15 tahun sanggup membantunya menguruskan enam lagi adik-adiknya yang masih kecil.

Menurutnya anak perempuan keduanya, Aleeya Shafika Derma, 15, banyak menjaganya sepanjang dia berpantang pada dua bulan lalu.

“Sebagai ibu memang hati saya tersentuh apabila melihat dia bukan sahaja uruskan makan minum saya ketika saya berpantang tetapi turut menjaga adik-adiknya yang masih kecil.
“Besar pengorbanan dia, saya sebagai ibu hanya mampu berdoa supaya semua urusan beliau dimudahkan. Setiap pagi memang dia akan masak bagi saya makan, bagi adik-adik dia makan, mandikan adik-adik dan baru dia berehat.
“Masa mula-mula dalam hati saya siapa agaknya yang akan jaga anak-anak lain tetapi tuhan Maha Kaya, dia sangat bertanggungjawab,” katanya ditemui di kediamannya hari ini.
Sejak kematian suaminya kerana serangan jantung, Isma bukan sahaja kehilangan tempat bergantung malah pendapatannya sekeluarga bergantung kepada peniagaan online secara kecil-kecilan yang diusahakan sejak setahun lalu.
“Memang hilang tempat mengadu dan bergantung apabila suami kita sudah tiada tetapi saya berusaha juga ambil kerepek, popia dekat orang lain untuk jual dan letak di kedai-kedai berhampiran.
“Ada masa jika ada rezeki dapatlah RM60 tetapi ada masa langsung tiada orang beli. Nak berniaga besar-besar macam orang lain akak belim pandai.
“Kalau lihat rumah saya pun tiada perabut, bukan tidak mahu tapi kekangan kewangan. Ada tempat berlindung pun bersyukur,”katanya.

Sementara itu, Aleeya Shafika yang ditemui berkata, setiap hari dia akan bangun seawal jam 6 pagi bagi menguruskan rumah.

“Pagi sudah bangun. Sebab dulu biasa lihat umi bangun pagi-pagi begini, masa ibu berpantang pukul 6 pagi saya dah bangun basuh baju, kemas rumah sikit-sikit sebelum adik bangun, kalau mereka bangun susah nak kemas.
“Panaskan air untuk ibu, buat air, saya buat dulu mana yang penting-penting,” katanya.
Jelas Aleeya, dia sedikit pun tidak pernah rasa terkilan dengan apa yang perlu dihadapinya dan tidak selesa seperti remaja lain.
Berbanding dengan rakan-rakan lain, dia lebih banyak menghabiskan masa bersama uminya dan adik-adik di rumah.
“Saya sama seperti remaja lain cuma saya lebih suka duduk di rumah bermain dengan adik-adik dan bersembang dengan umi. Penat itu sudah tentu kerana adik-adik semua kecil lagi tetapi bila saya selesai uruskan kerja rumah saya sudah boleh berehat bermain handphone atau menonton televisyen.
“Kalau bukan saya bantu umi siapa lagi? Lagi pun kesian umi tiada siapa yang boleh bantu dia, abang di asrama di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Permata Baiduri, Nor Aisyah A. Rahaman berkata, pihaknya telah membantu keluarga berkenaan untuk mendapatkan bantuan pihak berwajib.
Dalam pada masa sama,Permata Baiduri juga tidak pernah meminggirkan keluarga tersebut walaupun beberapa bantuan telah diterima mereka.
“Kami telah pun mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Massyarakat dan keluarga ini telah pun menerimanya dan kita tidak akan lupa keluarga ini,” katanya.-MalaysiaGazette