LONDON – Bekas Pengurus Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte muncul sebagai calon utama yang dilaporkan bakal mengisi jawatan pengurus Tottenham Hotspur.
Difahamkan, proses rundingan bersama Conte kini berada dalam perkembangan sangat positif.
Harapan begitu tinggi di England untuk Conte akan menggantikan Jose Mourinho di White Hart Lane dalam masa terdekat.
Spurs dilaporkan menghubungi bekas pengurusnya, Mouricio Pochettino minggu lalu untuk tujuan sama tetapi usaha itu menjadi sia-sia apabila Paris Saint Germain bertegas tidak melepaskan pengurus berwibawa itu meninggalkan Paris.
Pengerusi kelab berkenaan daniel Levy difahamkan tidak mahu membiarkan situasi pencarian pengganti Jose berlarutan untuk tempoh yang lama.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu tanpa pengurus selepas Jose dipecat pada 19 April lalu.
Levy berkata, kelab telah kehilangan tumpuan utama semasa pembinaan stadium baharu dan pandemik Covid-19.
Spurs menamatkan saingan EPL musim 2020/2021 di tempat ketujuh sekaligus menempah tiket ke kempen Liga Europa musim 2021/2022.
Harry Kane yang memenangi kasut emas EPL menyatakan harapan tinggi mengadakan rundingan positif bersama Levy mengenai masa depan bersama kelab itu apabila laporan media mendakwa pemain itu mahu meninggalkan kelab berkenaan untuk cabaran baharu.
Conte menjulang piala EPL dalam musim pertama sebagai pengurus Chelsea tetapi dipecat di akhir musim berikutnya selepas merangkul gelaran Piala FA kerana menamatkan saingan di tempat kelima EPL musim itu.-MalaysiaGazette