Home Nasional Jangan salah tafsir pesawat China ‘ceroboh’ ruang udara

Jangan salah tafsir pesawat China ‘ceroboh’ ruang udara

Muhammad Noor

KUALA LUMPUR – Jangan sesekali samakan isu pesawat dari China dan Israel yang dikatakan ‘menceroboh’ ruang udara Malaysia, demikian menurut Pakar Pertahanan, Mohammad Fuad Mat Noor.

Beliau  berkata, pesawat-pesawat China hanya berada di kawasan 12 batu nautika dan tidak langsung memasuki ruang udara Malaysia.

“16 pesawat itu pun jenis pengangkut, bukan pesawat tempur dan melalui kawasan pertikaian yang menjadi rebutan beberapa negara termasuk Malaysia serta tidak dilihat seperti ada agenda untuk memasuki ruang udara Malaysia.

“Ia sangat berbeza dengan pesawat Israel yang memasuki ruang udara kita dengan keizinan daripada Jabatan Penerbangan Awam (CIAAM) yang mana sepatutnya tidak berlaku,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau menjelaskan, dengan pesawat jenis Hawk serta penjelasan dari China bahawa mereka dalam misi latihan, bermakna tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

“Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien juga sudah melakukan tugas dengan menghantar notis bantahan dan memanggil Duta Besar China untuk ke Malaysia yang mengikut operasi prosedur standard.

Jelasnya lagi, dengan keadaan aset-aset pertahanan negara yang tidak secanggih negara lain, Malaysia seharusnya berbangga kerana pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dapat mengesan pesawat-pesawat tersebut.

“Tahniah TUDM kerana masih mampu mengesan ruang udara dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fuad turut memohon kerajaan Malaysia agar memberi tumpuan terhadap aset-aset keselamatan negara.

“Selepas Israel masuk sebelum ini, sepatutnya kita pertingkat lagi aset-aset yang ada. Ini soal pertahanan, kita patut ada yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Kerajaan seharusnya lebih memberi perhatian terhadap aset-aset pertahanan sama ada udara dan darat.

“Bajet untuk aset-aset TUDM ini semakin dikurangkan. Dulu, tahun 2009, ada peruntukan tiga peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK) untuk keperluaan seperti ini, namun sejak beberapa tahun ini turun kepada satu peratus sahaja.

“Kalau ada bajet yang baik, sudah pasti aset pertahanan kita juga akan jadi terbaik.,” katanya lagi.

 

Abdul Muein Abadi

Sementara itu, seorang lagi penganalisis Abdul Muein Abadi dalam tulisanya di Facebook menyifatkan China seolah-olah mengisyaratkan hasrat dan keupayaan kuasa udara mereka sebagai pengukuhan kepada kawasan perairan di Sabah yang termasuk dalam tuntukan Nine Dash Line mereka.

Beliau berkata, pesawat Y-20 mampu melakukan ‘paratrooper and cargo parachute drop’ seperti mana latihan pada 2018 ini.

“Apa isyaratnya apabila mereka mengirim 16 pesawat sebegini ke dalam negara kita?

“Mesej China kepada kita cukup jelas iaitu yang pertama, tuntutan mereka ke atas perairan Sabah dan Sarawak seperti mana garisan keempat dan kelima dalam peta Nine Dash Line mereka adalah serius.

“Keduanya, China mampu menguasai bukan sahaja melalui kuasa Navy dan Coast Guard, tetapi juga melalui pesawat Y-20 ini yang mampu mengangkut paratroopers dan 60 tan kereta kebal Type 15 sejauh 7800 kilometer.

“Ketiga, China juga mampu memasuki ruang udara kita secara mengejut dan serta-merta tanpa sebarang amaran,” tulisnya.

Beliau turut berkata, pesawat-pesawat ini lebih kepada tuntunan kawasan dan bukan kepada pencerobohan atau maksud lain yang boleh menggugat kedaulatan Malaysia.

Kapal peswat tentera China yang dipintas pesawat TUDM setelah dikesan menceroboh dan mencabul kedaulatan ruang udara Maritim Malaysia dalam insiden semalam.

Terdahulu, sebanyak 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan, memaklumkan TUDM memintas laluan 16 pesawat PLAAF yang telah dikesan menceroboh ZMM Kota Kinabalu (KK) IFR.

Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

Ackbal berkata, beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengahari untuk melakukan identifikasi visual.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien turutn menghantar notis bantahan dan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk penjelasan lanjut.