Home Utama Kanak-kanak mati akibat Covid-19 melonjak tahun ini

Kanak-kanak mati akibat Covid-19 melonjak tahun ini

Selangor masih kekal menjadi negeri yang paling tinggi mencatatkan kes harian iaitu sebanyak 1,973 kes.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Baru memasuki bulan kelima 2021, sebanyak tiga kanak-kanak telah meninggal dunia akibat Covid-19 berbanding lima kes sepanjang tahun lepas.

Statistik yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu juga menunjukkan terdapat peningkatan ketara terhadap kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, setakat Mei tahun ini seramai 27 kanak-kanak telah dimasukkan ke ICU yang mana 19 daripadanya berumur bawah lima tahun.

Angka itu naik mendadak berbanding hanya lapan kes termasuk enam daripadanya berusia lapan tahun yang direkodkan sepanjang tahun lepas.

Lantaran itu beliau menyeru semua pihak untuk mengambil berat situasi yang serius ini kerana kanak-kanak adalah kumpulan yang perlu dilindungi.

“Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar dari virus Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya semua SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.- MalaysiaGazette